PENGORBANAN seorang bapa yang dipaparkan dalam filem Papa Zola ternyata berjaya menjentik hati mereka yang menontonnya. Adegan Papa Zola mencari rezeki dengan melakukan beberapa pekerjaan secara realitinya berlaku di dalam masyarakat.
Ramai lelaki yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga di luar sana, berjuang mencari rezeki untuk memenuhi keperluan dan kehendak anak-anak dan isteri.
Dalam kehidupan, tidak semua lelaki bertuah dan memiliki kerjaya yang baik dan tidak berhadapan dengan masalah kewangan untuk menyara keluarga.
Namun, ada juga yang takdir hidupnya kurang baik, meskipun mempunyai kelulusan yang tinggi tetapi kurang berjaya di dalam kerjaya dan perlu melakukan kerja tambahan lain untuk menambah pendapatan.
Selain itu, ada juga ketua keluarga yang diuji dengan kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba dan kemudian sukar untuk mencari kerja untuk bangkit semula.
Ini menyebabkan mereka berhadapan dengan ketidakstabilan kewangan sehingga melahirkan rasa bimbang dan ketakutan yang berlebihan tentang masa depan.
Hal ini menyebabkan lelaki berhadapan dengan tekanan hidup sehingga memberi kesan kepada kesihatan mental. Terkadang, lelaki lebih memilih untuk tidak bercerita dan membiarkan diri dibebani dengan masalah yang dihadapi.
Lebih membimbangkan ada yang berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan mengambil keputusan menamatkan riwayat hidupnya sendiri. Dalam situasi ini, sebagai seorang mukmin yang beriman kita perlu memohon pertolongan daripada Allah.
Pensyarah di Jabatan Al – Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Monika @ Munirah Abd Razzak berkata, dalam menghadapi tekanan hidup yang semakin menghimpit doa menjadi senjata terkuat seorang mukmin.
Menurutnya, Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 186 bahawa Dia sentiasa dekat dan mendengar setiap rintihan hamba-hamba-Nya.
“Doa bukan hanya ungkapan permintaan, tetapi pengakuan bahawa kita lemah tanpa pertolongan Tuhan. Imam Hasan al- Basri menegaskan bahawa doa adalah kunci kepada segala kebaikan,” katanya.
Tambahnya, zikir pula memainkan peranan sebagai penenang hati seperti firman Allah dalam surah al-Ra‘d ayat 28. Jiwa yang dibasahi doa dan zikir akan merasai ketenangan yang tidak mampu diraih oleh hati yang bergantung kepada dunia sahaja.
Dalam mengurus ketakutan pula, Islam mengajar agar ketakutan itu dijadikan doa, bukan sumber kelemahan.
Monika berkata, apabila manusia hanya memikirkan apa yang ditakutinya, ketakutan itu membesar dan menguasai minda.
“Namun apabila ia diserahkan kepada Allah melalui doa, ketakutan berubah menjadi sumber kekuatan.
“Rabiah al-Adawiyah menegaskan bahawa sesiapa yang takut kepada sesuatu hendaklah memohon perlindungan kepada Allah kerana tiada kuasa yang lebih besar selain daripada kuasa-Nya.
Tambahnya, ketakutan yang disandarkan kepada Allah akan menjadi cahaya yang memandu langkah menuju ketenangan. -KOSMO! ONLINE














