TOMAN black dikatakan lebih ganas dan kuat tenaga juangnya berbanding ikan toman warna lain. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran info ini kerana belum pernah ‘kena’ toman black baik dengan gewang mahupun umpan.
Sejujurnya, mendaratkan toman black di Tasik Kenyir merupakan salah satu bucket list atau impian yang ingin saya capai sebelum menamatkan pengajian di Terengganu.
Trip mengilat kali ini memang kami sasarkan untuk mencari toman black yang diidam-idamkan.
Modus operandi kami adalah menyasarkan gewang ke reba-reba, pokok dan celahan batu yang tenggelam berhampiran tebing.
Keadaan paras air Tasik Kenyir ketika itu agak surut, jadi pilihan lokasi yang berpotensi adalah terhad kerana banyak reba telah berada di atas darat.
Jadi, kami mesti bergerak awal untuk mengelakkan pertembungan dengan bot-bot pemancing lain yang target lokasi sama.
Separuh masa pertama
Seawal pukul 6 pagi, kami telah sampai ke jeti. Setelah siap menurunkan semua kelengkapan dan menunaikan solat subuh, kami terus bertolak.
Suasana pagi pada musim permulaan monsun di Pantai Timur amat mencabar.
Suhu yang rendah dan hujan sekali-sekala mencurah turun membuatkan kami kesejukan, namun semangat kami tetap kental.
Sampai sahaja di lokasi pertama, kelihatan beberapa kawanan sebarau bermain di permukaan.
Fenomena kumpulan ikan sebarau bermain air (boiling) ini adalah perkara biasa apabila bermulanya musim monsun di Tasik Kenyir.
Namun kami tetap fokus dengan sasaran utama iaitu toman black.
Setelah saya melakukan beberapa lontaran ke celah-celah reba dan batu tenggelam, tiba-tiba gewang soft plastic (SP) Ozmy Silencer disambar kemas oleh seekor ikan yang masih menjadi misteri pada mulanya.
Saya menyentap joran dengan kuat kerana menyangka toman yang menyambut. Apabila ikan tersebut mula lemah dan datang ke arah bot, kelihatan sisik yang berkilau.
“Sebarau,” jerit rakan saya. Setelah didaratkan dan diukur, ternyata sebarau tersebut hampir sepanjang 47 sentimeter (sm). Ia boleh dikira satu saiz yang baik untuk standard Tasik Kenyir yang terkini.
Perjuangan kami diteruskan dengan berpindah ke lokasi lain yang lebih banyak reba dan balak tumbang. Lontaran demi lontaran dibuat, namun masih tiada kelibat toman black yang dicari.
Tiba-tiba, saya terlihat satu pergerakan berupa olakan air yang besar di tepi reba kayu yang separa tenggelam.
Berdesup gewang SP saya terus sampai ke sasaran, ia saya biarkan tenggelam secara perlahan-lahan.
Tiba-tiba, ikan melambung keluar dari air, nasib baik mata kail SP tertancap kemas di mulut ikan toman itu.
Kelihatan dari jauh ikan toman itu gelap rupanya, hati saya menjadi tidak keruan kerana mungkinkah ia toman black yang diidam-idamkan selama ini?
Joran dan kekili digenggam kemas, ternyata pertarungan dirasakan sungguh kuat. Ikan langsung tidak mahu mengalah dan sentiasa membenam menuju ke reba, begitu sukar saya ingin menghela kepalanya supaya terarah ke bot.

Secara perlahan-lahan tetapi dengan gagah saya mengepam ikan untuk menjauhkan ia dari reba dan merapati bot. Ternyata ia adalah toman black yang dicari selama ini.
Ikan hanya dinaikkan ke dalam bot apabila ia betul-betul lemah.
Sememangnya benar tenaga juangnya sangat kuat kerana saya mengambil masa agak lama barulah ia terkulai layu.
Setelah ditimbang, beratnya hanyalah lebih kurang 3.8 kilogram (kg), tetapi perlawanannya seakan saya melawan dengan toman saiz 5kg.
Separuh masa kedua
Lebih kurang pukul 12 tengah hari, kami singgah ke rumah rakit Pok Din yang merupakan ‘orang lama’ di Tasik Kenyir.
Dia menyambut dengan mesra dan mengajak kami berehat dan makan tengah hari di rumah rakitnya.
Selesai berehat dan menunaikan solat zohor, kami bergegas meneruskan sesi pancingan. Lebih kurang satu jam mengilat, gewang rakan saya pula diragut kemas dan toman tersebut terus memecut ke bawah bot.
Akibat set mengilat yang tidak sesuai, ikan berjaya membenam dan mencapai reba di dasar tasik tanpa dia dapat berbuat apa-apa.
Dia menghulurkan jorannya untuk saya bantu melepaskan toman yang tersangkut.
Setelah tali dilepaskan sedikit, tiba-tiba toman tersebut keluar dari reba dan sahabat saya dapat meneruskan perlawanan yang tergendala.
Alangkah gembiranya kami kerana toman itu juga berwarna hitam hampir di keseluruhan badannya. Tidak sangka kami dapat dua ekor toman black pada hari sama.
Dalam perjalanan pulang, kami sempat singgah di satu lokasi yang menerima ‘tekanan tinggi’ daripada pemancing berikutan kedudukannya dekat dengan jeti. Ternyata rezeki masih berpihak kepada kami.
Lontaran SP Ozmy Paddlepop 14sm berwarna putih ke celah batu tenggelam membuahkan hasil.
Seekor toman bujang berwarna ungu berjaya didaratkan. Hairan apabila melihat badan ikan toman ini calar-balar, mungkin ia pernah kena pancing dan berjaya melepaskan diri dengan masuk ke reba yang tajam hingga membuatkan badannya melelas sebegitu.
Gewang dan teknik
Saya tidak dapat menyimpulkan sebab toman berbeza warna, adakah disebabkan warnanya mengikut persekitaran ia tinggal sebagai penyamaran (camouflage) atau ia sedang berada dalam satu fasa yang tertentu seperti matang atau masa mengawan? Atau ada sebab lain?
Pastinya, toman black ini memang ganas dan kuat ketika dalam pertarungan, dan ramai pemancing yang tewas dengannya terutamanya ketika menentang saiz kasar.
Umpan yang kami gunakan ketika trip memburu toman black ini ialah gewang jenis topwater seperti pencil dan buzzbait serta SP saiz besar.
Menurut pemancing lama, kebiasaannya toman black bersifat menjaga kawasannya dengan ketat (territorial).
Jadi, sasarkan lokasi berupa reba berhampiran tebing dan tunggul-tunggul kayu, sama ada yang tenggelam sepenuhnya atau separa tenggelam kerana mungkin itu adalah kubu kuatnya.
Selain itu, ada juga tip yang mengatakan toman black ini boleh diburu dengan efisien pada masa-masa tertentu seperti sebelum musim mengawan atau saat ia mencari pasangan.
Namun, saya pernah melihat toman black ini berjaya didaratkan oleh rakan-rakan di Tasik Kenyir sewaktu diluar musim mengawannya. Kesimpulannya, berusahalah sebaik mungkin dan praktikkan pelbagai cara serta teknik untuk memburu toman istimewa ini.















