HUJAN yang turun secara tiba-tiba pada aksi final Kejohanan 2025 Global Horseback Archery Masters menyebabkan bulu pada anak panah mengecut.
Keadaan itu memaksa atlet memanah berkuda negara, Abu Bakr Muhamad Akmal bertindak pantas membaiki peralatan sebelum ke garisan mula.
Hujan yang turun menyebabkan arah anak panah mudah melencong dan air yang masuk ke mata sedikit demi sedikit mengganggu fokusnya ketika berada di atas kuda yang sedang bergerak laju.
Namun, cabaran itu bukanlah penghalang buat atlet berusia 13 tahun itu untuk terus menampilkan aksi terbaik sehingga berjaya meraih pingat emas sekali gus Best Performance Award di arena Honghuashan Sports Centre, Shenzhen, China.
Kejayaan mengungguli keseluruhan kejohanan tersebut bukan satu perkara kecil kerana Abu Bakr berjaya mengatasi lebih 70 atlet dari pelbagai negara termasuk China, Kazakhstan, Turkiye, Iran, Iraq, Thailand, Indonesia, Mongolia dan Korea.
Tambahan pula, majoriti peserta kejohanan ini terdiri daripada atlet dewasa berusia antara 20 hingga 40 tahun ke atas serta lebih berpengalaman di peringkat antarabangsa.
Dalam kejohanan itu, pasukan Malaysia berjaya secara keseluruhan meraih tiga pingat emas dalam tiga acara dengan Abu Bakr terlibat dalam setiap acara berkenaan.
Menurut Abu Bakr, setiap keputusan perlu dibuat dengan pantas sama ada untuk menukar teknik, menyesuaikan posisi badan atau mengawal tempo pergerakan kuda.
“Cabaran sebenar di arena bukan hanya datang dari lawan, tetapi juga faktor persekitaran yang sukar dijangka. Angin kencang sering mengubah laluan anak panah walaupun teknik sudah dilakukan dengan betul.

“Namun, apabila kami berjaya raih tiga emas, termasuk saya menerima anugerah Best Performance Award, perasaan kami sangat gembira dan bersyukur.
“Kejayaan ini kami dedikasikan sepenuhnya kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan dan menyokong kami dari jauh,” katanya kepada K-Remaja.
Best Performance Award dianugerahkan kepada Abu Bakr selepas meraih emas dalam acara Serial Format Junior, Masahi Team Junior dan Masahi Team Open Division.
Dalam acara Masahi Team Junior, Abu Bakr bergandingan bersama abangnya, Muhammad Muhamad Akmal, 15, serta rakannya, Abdurrahman Mu’az, 15.
Sementara itu, bagi acara Masahi Team Open Division, Abu Bakr bergandingan bersama Abdurrahman.
Abu Bakr meraih emas secara perseorangan dalam acara Serial Format Junior, manakala Muhammad meraih pingat perak kategori sama, selain pingat gangsa dalam acara Hungarian Format kategori Junior.
Abdurrahman pula menyumbang pingat perak dalam acara Hungarian Format kategori Junior.
Kejayaan yang dicapai pasukan negara tidak datang bergolek kerana mereka telah melakukan persediaan kira-kira sebulan sebelum pertandingan berlangsung.
Sepanjang tempoh tersebut, atlet menjalani latihan setiap hari secara konsisten dengan sesi pagi dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi khusus untuk memanah berkuda.
Latihan diteruskan pada waktu petang selama kira-kira dua jam, melibatkan latihan di darat (ground shooting) dan memanah berkuda bagi memperkemas teknik.
Selain itu, pasukan turut tiba di lokasi pertandingan tiga hari lebih awal bagi membolehkan atlet menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca serta persekitaran setempat sebelum kejohanan bermula.
Kuda yang digunakan dalam pertandingan bukanlah kuda khas untuk memanah berkuda, sebaliknya merupakan kuda yang biasa digunakan untuk tujuan sarkas dan persembahan serta tidak terbiasa dengan penggunaan busur dan anak panah.
Bagaimanapun, para atlet hanya diberikan tempoh satu hari untuk menyesuaikan diri dengan kuda sebelum pertandingan bermula.
Selain itu, kuda yang digunakan turut dikongsi, iaitu seekor kuda boleh ditunggang oleh dua hingga tiga atlet termasuk dari negara berbeza.
Keadaan ini menyebabkan sikap dan tindak balas kuda berubah selepas digunakan oleh penunggang yang berlainan.
Kongsi Muhammad, mereka akan memimpin kuda di atas trek sambil memegang busur bagi membiasakan haiwan tersebut dengan pergerakan serta peralatan memanah.
“Berbeza dengan sukan polo atau disiplin ekuestrian lain, peserta memanah berkuda perlu menggunakan kuda yang disediakan oleh pihak penganjur, sekali gus menjadikan satu percaturan besar.
“Keadaan ini berpunca daripada sifat kuda yang berbeza-beza, termasuk ada yang penakut, sukar dikawal dan separa liar, khususnya kuda dari Mongolia.
“Namun, pengalaman serta latihan yang pernah kami jalani di Mongolia sebelum ini banyak membantu dalam mengawal kuda liar serta meningkatkan tahap keyakinan kami,” katanya.
Sebelum beraksi di China, atlet memanah berkuda negara telah mengumpul pengalaman antarabangsa yang cukup bermakna melalui beberapa kejohanan utama.
Menerusi IHAA World Kids Championship 2025 yang berlangsung di Bogor, Indonesia pada Julai 2025, pasukan memanah berkuda Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan.
Di situ, mereka menewaskan atlet dari Eropah dan negara Barat lain seperti Perancis, Poland dan Australia.
Seterusnya, dalam World Horseback Archery Championship di Ulaanbaatar, Mongolia pada Ogos 2025, pasukan Malaysia menduduki tempat ketiga keseluruhan kategori terbuka.
Mereka bersaing dengan atlet berpengalaman dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kazakhstan, Mongolia, China dan Korea Selatan.
Daripada pengalaman tersebut, atlet tempatan mendapati atlet Eropah terkenal dengan gaya yang sangat teknikal dan berstruktur, manakala kebanyakan atlet Asia pula mengamalkan pendekatan yang lebih pelbagai serta berasaskan pengalaman lapangan.
Menurut jurulatih pasukan Malaysia, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan, Malaysia kini dipandang tinggi di mata masyarakat antarabangsa, namun pengiktirafan yang sama masih kurang dirasai di dalam negara.
“Pasukan memanah berkuda kita dikenali dan disanjung di luar negara termasuk negara kuasa besar sukan ini seperti China, Kazakhstan, Mongolia dan Turkiye.
“Namun, atlet memanah berkuda Malaysia masih terpaksa meminjam tempat latihan kerana kekurangan sokongan kerajaan.
“Saya berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan agar sukan ini turut diberi keutamaan selepas kami membuktikan pencapaian di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap usaha kami tidak terhenti di separuh jalan serta persediaan atlet dan pelapis sukan ini dapat disusun dengan lebih tersusun,” katanya.














