fbpx
DRON digunakan bagi menilai risiko kepada anggota penyelamat agar dapat mengenal pasti laluan paling selamat untuk mendekati mangsa.

Guna dron bantu kesan pendaki cedera, sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGGUNAAN teknologi dron sebagai sebahagian daripada strategi moden sangat membantu untuk meningkatkan kecekapan dan keselamatan operasi menyelamat khususnya melibatkan pendaki sesat, cedera atau terperangkap di kawasan pergunungan.

Laluan pendakian yang mencabar secara tidak langsung menyukarkan anggota penyelamat menjalankan tugas menyelamatkan mangsa yang terjejas dengan kadar segera.

Kapten Jabatan Bomba Phoenix, Amerika Syarikat, Mike Johnson memberitahu, setiap tahun pasukannya menerima ratusan panggilan kecemasan daripada pendaki yang mengalami keletihan haba, kecederaan fizikal atau kehilangan arah.

Dron yang berfungsi sebagai ‘mata di udara’ membolehkan pasukan penyelamat menilai situasi dengan lebih cepat sebelum menghantar anggota ke lokasi sebenar.

“Antara kelebihan dron ini ialah dilengkapi kamera resolusi tinggi, teknologi pengimejan haba, mampu mengesan mangsa dari jarak jauh tidak kira siang mahupun malam terutama di kawasan terlindung daripada struktur semula jadi seperti bongkah batu atau pokok.

“Dengan teknologi pengesan haba, kami dapat melihat di mana lokasi mangsa berada mahupun kawasan yang menjadi punca kebakaran terutama ketika musim panas.

“Maklumat akan diperoleh dengan lebih cepat dan anggota juga dapat merangka operasi menyelamat mahupun memadam kebakaran dengan teratur kerana sudah mengetahui koordinat lokasi,” katanya memetik laporan AZ Family.

TEKNOLOGI pengimejan haba membantu mengenal pasti kehadiran manusia melalui perbezaan suhu badan.

Teknologi pengimejan haba khususnya membantu mengenal pasti kehadiran manusia melalui perbezaan suhu badan, sekali gus mengurangkan masa pencarian yang sebelum ini boleh mengambil masa berjam-jam. 

Selain berfungsi untuk misi pencarian, dron juga digunakan bagi menilai risiko kepada anggota penyelamat agar dapat mengenal pasti laluan paling selamat untuk mendekati mangsa, mengelakkan kawasan runtuhan batu, cerun berbahaya atau suhu ekstrem yang boleh mengancam keselamatan pasukan penyelamat.

“Bagi segelintir kes kecemasan, dron turut digunakan untuk berkomunikasi dengan mangsa sebelum pasukan penyelamat tiba kerana terdapat pembesar suara yang dipasang pada dron membolehkan arahan asas disampaikan.

“Pendekatan ini mampu membantu menenangkan mangsa yang panik sementera bantuan sedang dalam perjalanan,” katanya.

Menjadi sebahagian daripada anggota penyelamat, dron juga dapat menghantar bekalan kepada mangsa seperti makanan, minuman mahupun selimut.

Buktinya, baru-baru ini anggota penyelamat berjaya menghantar bekalan bantuan kepada mangsa yang terkandas di puncak Gunung Camelback pada bulan lalu.

PAPARAN kamera dron yang membantu Bomba untuk mengenal pasti kedudukan mangsa terjejas.

“Sementara menunggu anggota membuat persiapan untuk membawa turun mangsa, kami menggunakan dron untuk menghantar makanan, minuman, selimut dan telefon bimbit dengan anggaran berat lebih 4 kilogram.

“Jika tiada laporan mangsa, kami akan menggunakan dron untuk memantau kawasan sekitar bagi mengenal pasti kawasan bermasalah atau mangsa agar dapat bertindak segera,” ujarnya.

Meskipun dron dianggap banyak memberi manfaat kepada manusia, namun Johnson menegaskan teknologi itu bukan bertujuan untuk menggantikan peranan anggota penyelamat.

Sebaliknya, alat itu berfungsi sebagai sokongan yang mempercepatkan proses membuat keputusan kerana setiap operasi masih memerlukan penilaian manusia, kepakaran teknikal dan koordinasi rapi pasukan darat dan udara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN