HAKIKAT yang perlu difahami, bayaran PIBG bukan wajib, sebaliknya merupakan sumbangan sukarela. - GAMBAR HIASAN/AI

Jangan gaduh-gaduh soal bayaran PIBG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mahal, tidak relevan dan membebankan terus menjadi topik hangat setiap kali sesi persekolahan bermula.

Walaupun saban tahun penjelasan demi penjelasan diberikan, masih wujud kekeliruan sehingga mencetuskan rungutan, pertikaian kalangan ibu bapa.

Hakikat yang perlu difahami, bayaran PIBG bukan wajib, sebaliknya merupakan sumbangan sukarela, namun dalam masa sama, sekolah tidak dapat menafikan keperluan dana tambahan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran, aktiviti murid serta penambahbaikan prasarana.

Setiausaha Kehormat Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Tunku Munawirah Putra menegaskan bahawa perkara ini sebenarnya telah digariskan dalam Garis Panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2011.

Menurutnya, jika sekolah memerlukan dana tambahan, perancangan sepatutnya dibuat lebih awal dan dibincangkan secara terbuka dalam mesyuarat PIBG.

“Walaupun kutipan sumbangan PIBG amat disarankan, kadarnya tidak boleh membebankan ibu bapa dan tidak boleh dilaksanakan secara paksaan.

“Apabila ibu bapa dimaklumkan dengan jelas tujuan kutipan dan perincian perbelanjaan, mereka lazimnya lebih memahami serta bersedia memberi sokongan,” katanya.

Katanya, masalah sering timbul apabila ada pihak yang ‘mengejutkan’ ibu bapa dengan kenaikan yuran tanpa penjelasan terperinci.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, pendekatan sebegini hanya mengundang rasa tidak puas hati. Ketelusan, komunikasi dan laporan perbelanjaan yang jelas seharusnya menjadi amalan utama semua PIBG,” katanya.

Mengulas mengenai kutipan tidak mencukupi, Tunku Munawirah berpendapat cadangan untuk mengutip yuran berdasarkan bilangan pelajar wajar dibawa ke mesyuarat PIBG bersama justifikasi munasabah untuk dipersetujui bersama.

Jelasnya, lebih banyak dana yang dipersetujui secara kolektif mampu memberi impak positif terhadap kemudahan sekolah, sekali gus meningkatkan produktiviti pelajar dan guru.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan pihaknya tidak melihat keperluan untuk menetapkan sebarang kadar maksimum bagi kutipan sumbangan PIBG dan ia berdasarkan persetujuan bersama ahli.

Namun, satu prinsip penting yang penulis ingin ingatkan, bahawa tiada tindakan boleh dikenakan terhadap ibu bapa atau pelajar yang tidak membayar sumbangan PIBG kerana ia kekal sebagai sumbangan sukarela.

Dalam masa sama, ibu bapa juga wajar memahami bahawa dana inilah yang membantu sekolah menjalankan aktiviti, mencantikkan persekitaran dan menyokong pembangunan sahsiah anak-anak mereka.

Untuk memastikan setiap keputusan memberi kebaikan bersama untuk semua pihak, kehadiran ibu bapa ke AGM PIBG amat penting agar sama-sama dapat bersuara, bertanya dan membuat kata putus.

Mengorbankan setengah hari dalam setahun demi masa depan anak-anak bukanlah satu kerugian, dan tidak hadir, jangan pula hanya lantang membantah di ruang maya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN