PASIR PUTEH – Seorang pengusaha anak benih ikan kerapu hibrid terpaksa menanggung kerugian lebih RM20,000 apabila enam unit kolam ternakan miliknya roboh semalam akibat fenomena air pasang dan angin kencang yang melanda Pantai Pachakan dekat sini sejak tiga hari lalu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi apabila ombak kuat membadai struktur kolam yang dibina Muhammad Yusuhaire Aliza, 32, sebelum hakisan teruk berlaku menyebabkan kesemua kolam runtuh.
Muhammad Yusuhaire berkata, fenomena air pasang besar yang melanda kawasan itu telah menghakis tanah secara berterusan walaupun pelbagai langkah pencegahan dilakukan.
“Kejadian ombak besar berlaku tiga hari lalu dan air laut pula melimpah ke seluruh kawasan ternakan anak benih ikan kerapu hibrid.
“Saya sudah meletakkan 1,500 guni berisi pasir sebagai benteng, namun usaha itu tetap gagal menahan kekuatan ombak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Muhammad Yusuhaire berkata, sebelum kejadian runtuhan kolam, beberapa kemudahan termasuk pagar, stor makanan ikan dan tandas telah dihanyutkan ke laut sejak kelmarin.
Menurutnya, setiap kolam mampu menampung anak benih ikan kerapu bernilai kira-kira RM2,000.
“Selain itu, terdapat 84 keretakan takungan air pada empat kolam dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM100,000.
“Saya bimbang keseluruhan struktur ini turut roboh jika fenomena air pasang besar melanda dalam tempoh yang lebih lama,” katanya.
Menurutnya, projek ternakan benih ikan kerapu hibrid itu diusahakan sejak tiga tahun lalu dan menjadi sumber bekalan utama kepada penternak ikan sangkar di sekitar Besut dan Laguna Semerak.
Katanya, dia kebiasaannya mula menternak benih sekitar pertengahan Februari dan projek tersebut ketika ini berada pada fasa permulaan.
“Jika ternakan sudah bermula, kerugian pasti jauh lebih besar. Pembinaan benteng pemecah ombak secara kekal sangat diperlukan sebelum sebarang kerja pembaikan dan pembangunan semula projek dapat dilakukan,” katanya.















