NILAI – Lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes penderaan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun sering dilihat penduduk jalan bersendirian tanpa isteri dan anak di sekitar Desa Palma di sini.
Seorang pengawal keselamatan berusia 30-an berkata, dia selalu melihat lelaki berusia 22 tahun itu melalui kawasan taman permainan berhampiran dan kali terakhir adalah dua bulan lalu.
Menurutnya, lelaki tersebut juga dilihat berkelakuan normal dan tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan sepanjang berada di kawasan itu.
“Saya memang biasa nampak lelaki itu, dia sewa rumah di salah sebuah blok di sini dan setahu saya, dia jarang bawa anak.
“Tapi adalah dalam dua bulan lepas saya nampak dia lalu kawasan taman permainan, biasa saja. Terkejut, tak sangka pula dia terlibat dalam kes penderaan,” katanya di sini semalam.
Penduduk lain yang dikenali Mira 30-an memaklumkan, dia pernah terserempak dengan lelaki yang ditahan itu, tetapi tidak pernah melihat isterinya selama tinggal di kawasan pangsapuri berkenaan.
“Tak pasti mereka tinggal di blok yang mana. Kami tak rapat sangat, tapi pernah jumpa, cuma isterinya tidak pernah nampak,” katanya.
Terdahulu, sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dibacakan dihadapan Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah di Mahkamah Majistret Seremban, di sini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, permohonan reman terhadap lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan seorang penghantar makanan menemukan seorang kanak-kanak lelaki di luar kedai serbaneka dalam keadaan menggigil dan ketakutan sebelum dibawa ke sebuah kedai makan selepas mengadu lapar.















