PETALING JAYA – Seorang pemandu berdepan detik cemas apabila bertembung dengan seekor gajah di laluan Bukit Kuala Rui, berhampiran Tasik Banding, Jeli, Kelantan, pada pagi kelmarin.
Menerusi perkongsian di TikTok oleh @Aimi Nawi, kelihatan gajah tersebut tiba-tiba berlari ke arah kenderaan mereka menyebabkan pemandu terpaksa mengundur bagi mengelakkan pertembungan.
Malah, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada di belakang mereka turut terlibat dalam situasi itu sebelum memecut meninggalkan lokasi berkenaan.
“Banyak kali sudah terserempak dengan gajah bila lalu laluan Timur-Barat, tetapi ini pertama kali betul-betul dekat sangat,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dia turut menjelaskan bahawa sudah 30 tahun menggunakan laluan tersebut, namun tidak pernah melihat gajah di kawasan berkenaan sebelum ini.
“Biasanya dia dekat atas lagi. Gajah ni pun sudah nak masuk hutan. Kami dah rasa lega masa tu. Tetapi beberapa minit kemudian, dia tiba-tiba berpusing dan terus lari ke arah kami.
“Tiada pilihan selain undur kereta, walaupun sebelah tepi ada gaung,” tulisnya di ruangan komen.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi yang rata-rata terkejut dan risau dengan keselamatan pemandu serta menasihatkan agar lebih berhati-hati.
“Seram jugak, nasib baik tiada kereta banyak-banyak beratur di belakang,” komen Emy.
“Ya Allah, elok-elok nak masuk ke dalam laluan dia, boleh pula nak marahkan kenderaan. Siapa agaknya ada berkata-kata di situ,” kata Jas.
“Alhamdulillah dari 2002 sampai sekarang baru sekali saja terserempak, waktu malam. Itu pun memang gerak sebab tidak perasan, sudah dekat baru nampak. Kalau brek mahu duduk sebelah dia,” komen Cik Misi. – KOSMO! ONLINE
@aimi_nawiBanyak kali dah terserempak dengan gajah bila lalu Timur Barat. Tapi ni first time close encounter.♬ original sound – Aimi Nawi














