fbpx
KEMAHIRAN imitasi atau meniru memainkan peranan penting dalam disiplin menuntut ilmu. – Gambar hiasan

‘Meniru’ salah satu seni menuntut ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh Dr. Muhammad Ridha Ali Huddin

DALAM dunia ilmu dan pembelajaran, ada satu kemahiran yang sering dilupakan. Namun ia menjadi asas kepada segala bentuk kemajuan manusia iaitu kemahiran imitasi atau dalam bahasa mudahnya ‘keupayaan meniru untuk belajar’.

Kemahiran imitasi sangat memainkan peranan penting dalam disiplin menuntut ilmu tanpa terhad kepada mana-mana bidang sekalipun.

Dalam kehidupan seharian manusia, kita juga menerapkan amalan yang telah lazim dilakukan oleh orang-orang terdahulu.

Bahkan dalam agama Islam, umat Muslim sangat dianjurkan untuk mengikut sunah Nabi Muhammad SAW bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan. Begitu juga landskap dalam ilmu yang berkaitan dengan bahasa dan bunyi.

Semua manusia tidak terlepas daripada melalui proses imitasi ini sama ada secara sedar mahupun tidak. Contoh kemahiran imitasi yang paling asas ialah pemerhatian.

Sejak kecil lagi, semua manusia belajar melalui pemerhatian dan peniruan. Anak-anak kecil juga lazimnya akan meniru atau mereplikasi cara dan gaya perbualan ibu bapa mereka. Namun begitu, imitasi dengan sedar tidak semudah proses imitasi tanpa sedar.

Hal ini kerana proses imitasi tanpa sedar berlaku secara alami dan tidak berasaskan pengetahuan sedia ada. Sebaliknya imitasi secara sedar perlu mengaplikasikan pengetahuan sedia ada dengan konteks semasa. Itulah yang membezakan antara kedua-dua ini iaitu proses (tanpa sedar) dan kemahiran (sedar).

Keupayaan meniru merupakan salah satu faktor yang besar dalam usaha memperoleh penyebutan bunyi yang paling tepat dalam bahasa kedua atau bahasa asing.

Menurut Profesor Brown dari Amerika Syarikat dalam kajiannya pada tahun 2008, pelajar yang baik lazimnya menyedari kemampuan dan keupayaan mereka menguasai aspek penyebutan bunyi dengan cara mengajuk (meniru) suara dibunyikan oleh penutur natif bagi bahasa sasaran tersebut.

Kemampuan pelajar untuk meniru penyebutan bunyi seperti sebutan jati juga merupakan salah satu aspek terpenting dalam kemampuan penggunaan bahasa yang dapat dikuasai dengan cara praktikal dan konsisten.

Walaupun begitu, proses imitasi bukan sekadar mekanikal, sebaliknya ia merupakan satu proses kognitif dan sosial yang kompleks serta menjadi asas kepada perkembangan intelektual serta profesionalisme seseorang.

Dalam psikologi pembelajaran, konsep imitasi dikaitkan dengan teori social learning oleh Albert Bandura yang menjelaskan bahawa manusia belajar bukan hanya melalui pengalaman sendiri tetapi juga dengan memerhati dan meniru tingkah laku orang lain.

SEJAK kecil lagi, manusia akan belajar melalui pemerhatian dan peniruan. – Gambar hiasan

Dari lensa agama Islam pula, konsep ini diangkat ke tahap lebih tinggi. Umat Islam bukan sekadar meniru, bahkan mencontohi akhlak, perbuatan dan tutur kata Rasulullah SAW. Keadaan ini merupakan satu bentuk imitasi yang berasaskan kefahaman, keikhlasan dan niat suci.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan sunahku, maka dia mencintaiku. Dan sesiapa yang mencintaiku, dia akan bersamaku di syurga.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jelaslah di sini bahawa meniru dengan tujuan meneladani kebaikan bukanlah kelemahan atau keburukan, sebaliknya satu jalan tepat untuk menuju kesempurnaan akhlak dan ilmu.

Terdapat kajian yang dilakukan oleh pensyarah kanan di Jerman pada tahun 2019 mengenai kelebihan kemampuan meniru. Kajian itu mencadangkan model yang menggunakan Generative Adversarial Network (GAN) untuk meningkatkan ketepatan penyebutan bunyi dalam kalangan bukan penutur natif bahasa Inggeris.

Kajian mengenai latihan penyebutan berteraskan komputer mendapati bahawa semakin baik perbandingan antara suara pelajar dan penutur natif, semakin positif kesannya terhadap latihan penyebutan.

Kaedah tersebut menekankan kepentingan persamaan suara pelajar dan guru untuk peningkatan kemahiran sebutan. Dalam maklum balas bagi aktiviti meniru diri sendiri (self-imitation), ciri-ciri dalam penyebutan bunyi natif diekstrak dan ditransplantasikan kepada sebutan pelajar.

Mendengarkan penyebutan dimanipulasi, lalu membolehkan pelajar memahami perbezaan antara sebutan mereka yang beraksen dan rakannya.

Kesimpulannya, imitasi adalah langkah pertama dalam tangga ilmu.

Kemahiran ini dapat memberi banyak manfaat kepada pelajar yang bijak menggunakan akal fikiran selari dengan arus pemodenan zaman kini. Kemahiran ini mengajar manusia mengenal corak, sistem dan disiplin.

Tanpa imitasi, tiada permulaan. Namun, setelah memahami dan menguasai sesuatu ilmu, barulah seseorang layak melangkah ke tahap inovasi bagi menyumbang kepada pembaharuan metodologi ilmu tanpa menyeleweng daripada landasan asas.

Maka, meniru bukan kelemahan tetapi seni menuntut ilmu yang memerlukan kesungguhan, adab dan kefahaman. Selagi peniruan itu berasaskan niat yang betul dan disertai ilmu, ia akan menjadi jalan menuju kecemerlangan serta keberkatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN