AKTIVITI lasak semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat moden yang mencari keseimbangan antara gaya hidup aktif, kesihatan mental dan pembangunan diri.
Salah satu sukan lasak semakin popular adalah rock climbing (panjat batu) yang bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, malah ketahanan mental, disiplin dan keupayaan membuat keputusan.
Bagi salah seorang jurulatih sukan mendaki bertauliah daripada South East Asian Climbing Federation (SEACF), Muhamad Riduwan Ali, rock climbing lebih daripada sekadar hobi kerana ia merupakan satu perjalanan pembelajaran sepanjang hayat.
“Saya berkecimpung dalam dunia aktiviti outdoor sejak tahun 2014 dan aktif dalam pelbagai sukan lasak seperti mendaki, trekking dan rock climbing.
“Minat saya terhadap sukan rock climbing bermula apabila ingin mencabar diri ke tahap yang lebih teknikal selepas terbiasa dengan aktiviti mendaki biasa,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, rock climbing mengajarnya mengawal rasa takut, menyusun strategi dan percaya pada diri sendiri yang sangat berkait rapat dengan cabaran kehidupan seharian.
Menariknya, Muhamad Riduwan menjadikan aktiviti itu sebagai ruang perkongsian bersama isterinya, Fatin Nabeela Jumaat yang turut memanjat bersamanya sebagai sokongan emosi dan pengukuh hubungan.
Sepanjang penglibatannya, Muhamad Riduwan telah meneroka pelbagai lokasi rock climbing ikonik di Malaysia.
Antaranya adalah di Gua Damai dan Batu Caves di Selangor; Bukit Takun, Dragon Horn di Pulau Tioman, Pahang serta panjatan berskala besar atau big wall di Gunung Kinabalu, Sabah.

Kongsinya, setiap lokasi menawarkan karakter dan cabaran berbeza, misalnya Gua Damai dan Bukit Takun sesuai untuk latihan berterusan dan pembinaan asas teknik kerana variasi laluannya.
Ujarnya, Dragon Horn pula memberikan pengalaman unik panjatan batu granit dengan latar belakang laut, manakala Gunung Kinabalu menguji had fizikal dan mental di altitud tinggi.
“Kesemua lokasi ini melibatkan permukaan semula jadi. Batu kapur di Gua Damai dan Bukit Takun mempunyai tekstur kasar dengan pegangan kecil serta laluan teknikal.
“Batu granit di Dragon Horn pula lebih solid dengan friction yang berbeza dan memerlukan keyakinan tinggi.
“Bagi big wall di Gunung Kinabalu, permukaannya lebih kompleks dan terdedah.
“Ia menuntut kemahiran teknikal, stamina serta pengurusan keselamatan sangat teliti,” ujarnya.
Katanya lagi, dari segi tahap kesukaran, lokasi-lokasi itu menawarkan laluan yang progresif.
Dia memaklumkan, Gua Damai dan Bukit Takun sesuai untuk beginner hingga advanced, manakala Dragon Horn lebih cenderung kepada tahap intermediate hingga advanced.
Sementara itu, Gunung Kinabalu pula berada pada tahap advanced hingga expert dan tidak sesuai untuk pendaki baharu kerana melibatkan panjatan panjang, pengurusan tali dan tekanan mental tinggi.
Cabaran lain yang perlu dihadapi termasuk faktor cuaca, kelembapan, haba, perubahan keadaan persekitaran serta risiko rock fall.
Kongsinya lagi, di kebanyakan lokasi, tiada staf atau guide rasmi disediakan, maka disiplin keselamatan, partner check dan pengalaman menjadi faktor penentu.
Namun bagi Muhamad Riduwan, kepuasan sebenar bukan sekadar untuk sampai ke puncak, tetapi proses sepanjang perjalanan itu sendiri.
“Saat mengatasi keraguan, mengawal ketakutan dan terus bergerak walaupun penat adalah momen paling bermakna,” ujarnya.














