fbpx
DURIAN musang king gred C dari dusun Balik Pulau yang menjadi kegilaan pemborong.

Musang king gred C Balik Pulau jadi rebutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pengusaha dusun di Balik Pulau mendedahkan hanya pemborong bertuah dapat membeli buah durian premium itu pada harga RM15 sekilogram, dengan saiz buah dan pangsa yang sangat kecil.

Meskipun pemilik dusun musang king dari daerah ini dikatakan masih mengekalkan harga premium antara RM40 hingga RM50 untuk durian gred A dan B, namun tidak bagi gred C dan CC.

Seorang pemilik dusun musang king di Balik Pulau yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 38, berkata, mana-mana pemborong yang berjaya me­rebut buah itu pada harga RM15 sekilogram dari kebun daerah ini dianggap sebagai bertuah.

Namun katanya, tidak ramai pemborong yang berupaya menikmati harga rendah raja buah nombor satu itu memandangkan musim ketiga pengeluaran buahnya di Balik Pulau kali ini dikatakan terlalu singkat bermula November 2025 dan dijangka berakhir bulan ini.

“Bukan senang nak cari musang king gred C dan CC yang dijual antara RM12 hingga RM15 sekilo dari dusun Balik Pulau. Hanya buah gred A dan B yang banyak terdapat di pasaran ketika ini.

“Di dusun, musang king yang tidak menjadi atau saiznya sa­ngat kecil di atas pokok selalunya akan dipotong sebelum matang, manakala buah yang cantik sahaja dibiarkan sehingga masak dan luruh.

“Jika ada pun, stok buahnya pula semakin berkurangan. Malah, mana-mana pemborong yang berjaya rebutnya dahulu, memang dialah dianggap ‘jackpot’. Namun, biasanya pemilihan saiz dan gred durian akan dilakukan sendiri oleh pihak pemborong dan akan dipersetujui oleh pengusaha kebun,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, buah musang king kini hanya tinggal kira-kira lima hingga tujuh peratus di atas pokok dan pengeluarannya di­jangka berlaku lagi pada Februari ini.

Mengulas lanjut mengenai gred buah musang king pula jelasnya, masing-masing mempunyai perbezaan dari segi saiz buah dan jumlah pangsa.

“Musang king gred A adalah buah bersaiz besar dan mempunyai tiga pangsa, gred B pula pangsanya kecil sedikit berbanding gred A.

“Bagi gred C pula, sekurang-kurangnya terdapat empat pangsa yang sangat kecil, manakala gred CC pula mempunyai minimum tiga pangsa dan ke bawah,” ujarnya.

Harga terkini jualan musang king gred A dari dusun adalah RM50 sekilo, buah gred B dijual pada harga RM40, manakala gred C dan CC masing-masing dipasarkan antara RM12 dan RM15 sekilo.

Dalam pada itu, Tan membe­ritahu, tidak berlaku sebarang lambakan musang king Balik Pulau seperti di Perak dan Pahang serta harga pasaran bagi buah eksportnya dijual pada harga RM65 sekilogram.

Baru-baru ini, Kosmo! me­laporkan, walaupun durian musang king di negeri-negeri lain ‘turun takhta’ apabila har­ganya merudum, namun durian ka­yangan itu di Balik Pulau di sini, masih kekal berada di tangga teratas.

Malah, peniaga musang king Balik Pulau masih kekal dengan harga tinggi antara RM45 hingga RM65 sekilogram berbanding negeri-negeri lain yang me­ngalami kejatuhan harga sehingga RM10 sekilogram. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN