Masa depan durian kayangan seperti musang king ketika ini berada dalam fasa mencabar apabila harga raja buah itu jatuh menjunam sehingga RM10 sekilogram berbanding antara RM30 hingga RM50 sekilogram.
Begitu juga durian duri hitam yang jatuh harga sehingga RM20 sekilogram, jauh lebih murah berbanding lebih RM50 sekilogram. Durian kampung pula hanya dijual RM5 sekilogram.
Kejatuhan harga ini menguntungkan pengguna apabila semua golongan mampu membeli durian pada musim kali ini.
Bagaimanapun, tidak bagi pekebun yang selama ini menganggap musang king sebagai tanaman bernilai tinggi dan pelaburan jangka panjang yang menguntungkan.
Antara punca utama kejatuhan harga ialah lambakan durian ekoran pengeluaran yang berlaku serentak, selain musim buah yang semakin berpanjangan.
Penggunaan teknologi pertanian moden membolehkan pokok durian berbuah lebih lama sehingga mengganggu kitaran harga yang sebelum ini lebih stabil dan bermusim.
Dalam tempoh sedekad kebelakangan ini, penanaman musang king berkembang pesat. Jika dahulu ia banyak diusahakan oleh pekebun Cina, kini semakin ramai pekebun Melayu turut menceburi bidang ini, didorong kejayaan awal dan harga pasaran tinggi.
Fenomena ini menyebabkan keluasan tanaman meningkat mendadak di hampir semua negeri. Apabila semua kebun mula mengeluarkan hasil dalam tempoh hampir sama, persaingan semakin sengit dan pasaran menjadi tepu.
Penanaman durian kayangan memerlukan modal tinggi. Dengan harga jualan yang rendah, ramai pekebun mula mempersoalkan sama ada hasil yang diperoleh mampu menampung kos operasi.
Dari sudut pasaran antarabangsa, China kekal sebagai destinasi eksport utama durian musang king Malaysia. Permintaan tinggi dari negara itu selama ini banyak membantu menstabilkan harga ketika musim lambakan tempatan.
Namun, perkembangan penanaman durian di Pulau Hainan, China, menimbulkan persoalan besar tentang masa depan eksport Malaysia. Jika pengeluaran durian tempatan China meningkat dan memenuhi keperluan pasaran mereka sendiri, permintaan terhadap durian import mungkin akan berkurangan.
Dalam situasi ini, Malaysia perlu bersaing dari segi kualiti, rasa dan penjenamaan. Selain China, pasaran eksport baharu juga perlu diteroka seperti ke Timur Tengah, Eropah dan negara Asia lain.
Dalam negara, perubahan cita rasa pengguna turut memberi kesan. Generasi muda dilihat kurang meminati durian antaranya kerana baunya. Jika trend ini berterusan, permintaan domestik jangka panjang mungkin akan menurun.
Ketika ini ada pekebun dan peniaga memaklumkan mereka masih mampu meraih keuntungan, tetapi jika harga durian terus merudum, adakah mereka masih boleh bertahan?
Bagi menangani isu ini, inovasi produk berasaskan durian seperti ais krim, pastri dan produk sejuk beku boleh membantu menarik minat orang muda, malah mengubah persepsi terhadap durian.
Masa depan durian tidak lagi semudah dahulu. Walaupun ia masih mempunyai potensi besar, cabaran dari segi lebihan bekalan, kos tinggi, persaingan eksport dan perubahan cita rasa pengguna memerlukan strategi baharu agar industri ini terus kekal mampan.














