JOHOR BAHRU – Kehilangan tangan kiri akibat kemalangan ngeri di lebuh raya lapan tahun lalu tidak mematahkan semangat seorang pemuda orang kelainan upaya (OKU) untuk bangkit meneruskan kehidupan sebagai penghantar makanan.
Kemalangan ngeri yang berlaku pada 14 Mei 2017 itu meninggalkan parut mendalam dalam hidup Muhammad Ahmad Nabil Rosli, 26, apabila dia terlibat dalam nahas motosikal di Lebuh Raya Pantai Timur berhampiran susur keluar Bukit Besi-Ajil, Dungun, Terengganu selepas terlelap ketika menunggang seorang diri pada awal pagi.
Lebih memilukan, ketika kejadian, Ahmad Nabil terbaring di atas lebuh raya hampir tiga jam dalam keadaan berlumuran darah sebelum disedari oleh orang awam yang lalu di kawasan berkenaan.
Menurut Ahmad Nabil, akibat pelanggaran kuat itu, tangan kirinya hancur dan hampir terputus, memaksa doktor membuat keputusan paling sukar demi menyelamatkan nyawanya.
“Saya keluar selepas habis kerja dalam pukul 4 pagi dari rumah tanpa memberitahu ibu bapa.
“Saya terlelap dan terbabas langgar besi penghadang jalan sebelah kiri, dan tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Ahmad Nabil berkata, bapa terpaksa membuat keputusan sukar merelakan tangan kirinya dipotong selepas dimaklumkan anggota itu sudah tidak mempunyai deria rasa dan berisiko menjadi beban seumur hidup.
“Bila saya sedar, tangan saya sudah tiada. Masa itu saya hanya mampu menangis. Saya rasa hidup saya sudah berakhir,” katanya.
Anak ketiga daripada enam beradik itu mengakui tempoh awal selepas kemalangan adalah saat paling gelap apabila berdepan perasaan rendah diri, putus asa dan takut untuk berhadapan dengan masyarakat.
Ahmad Nabil dirawat hampir dua bulan di hospital sebelum pulang ke rumah keluarga di Kerteh, Kemaman, Terengganu dan memulakan proses panjang menerima takdir sebagai seorang OKU.
Pada tahun 2017, Ahmad Nabil memberanikan diri mencuba pekerjaan sebagai penghantar makanan menggunakan motosikal automatik walaupun hanya mempunyai satu tangan.
Perjalanan sebagai penghantar makanan tidak selalu indah apabila dia pernah dimarahi pelanggan dan dipandang sinis, namun Ahmad Nabil memilih untuk menelan segala kepahitan itu dengan sabar.
Di media sosial, Ahmad Nabil dikenali dengan gelaran King of One Hand, satu simbol ketabahan yang mengangkat maruah golongan OKU untuk tidak menyerah kalah kepada takdir walaupun bergelar kurang upaya.














