BANDAR GAZA – Menjelang berakhirnya tahun 2025, rakyat Palestin di Gaza menyambut Tahun Baharu 2026 bukan dengan perayaan, sebaliknya keletihan, kesedihan dan harapan rapuh agar ‘mimpi ngeri’ yang tidak berkesudahan akan berakhir.
Bagi penduduk di wilayah yang hancur teruk itu, kehidupan seharian mereka adalah satu perjuangan untuk terus hidup.
Sebahagian besar infrastruktur Gaza musnah, bekalan elektrik masih terhad dan ratusan ribu penduduk terpaksa tinggal di dalam khemah sementara selepas berulang kali dipindahkan akibat dua tahun pertempuran dengan Israel.
“Kami di Gaza hidup dalam mimpi ngeri yang tidak berkesudahan,” kata seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang tinggal di Bandar Gaza, Hanaa Abu Amra.
“Kami berharap mimpi ngeri ini akan berakhir pada 2026. Paling tidak, kami menginginkan kehidupan yang normal, bekalan elektrik dipulihkan, jalan-jalan kembali seperti biasa dan tiada khemah memenuhi tepi jalan,” tambahnya.
Namun, di sebalik kemusnahan itu, masih ada penduduk yang berpegang pada kepercayaan bahawa tahun baharu mungkin membawa pengakhiran pertempuran dan peluang untuk membina semula kehidupan.
“Kami masih berharap untuk kehidupan yang lebih baik pada tahun baharu dan saya menyeru dunia untuk membantu kami yang tertindas agar dapat menjalani semula kehidupan normal,” kata Khaled Abdel Majid dari kem pelarian Jabalia. – AFP














