SHAH ALAM – Sejumlah 1,206 saman dikeluarkan polis atas pelbagai kesalahan sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2026 di seluruh Selangor malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, daerah Ampang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 199 saman, diikuti Shah Alam (161 saman), Petaling Jaya (156), Klang Utara (124), Klang Selatan (80) dan Sungai Buloh (74).
“Pihak polis melaksanakan sitaan ke atas 93 kenderaan atas pelbagai kesalahan. Turut ditahan tujuh individu kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45A(1), Seksyen 42(1) dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya hari ini.
Seramai 413 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan tugas am kontinjen Selangor, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi tersebut. – KOSMO! ONLINE














