SUKAN olahraga negara menepati sasaran lima pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025, namun pencapaian itu tidak seharusnya dilihat sebagai kemuncak kejayaan, sebaliknya menjadi ukuran awal kepada cabaran lebih besar menjelang Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
Status tuan rumah yang bakal dipikul Malaysia dua tahun lagi meletakkan tekanan dan jangkaan lebih tinggi, sekali gus menuntut pendekatan lebih agresif serta berani dalam perancangan prestasi, khususnya bagi sukan teras seperti olahraga.
Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yang kini menggalas peranan sebagai Timbalan Ketua Kontinjen (CDM), melihat kejayaan di Bangkok sebagai bukti kemampuan, namun bukan lesen untuk kekal selesa dengan sasaran minimum.
Cadangan beliau agar sasaran emas dinaikkan kepada sekitar 10 hingga 12 pingat mencerminkan keperluan perubahan minda daripada sekadar memenuhi KPI kepada memburu dominasi sebenar di laman sendiri.
“Tahun ini membuktikan kita mampu capai sasaran yang ditetapkan, jadi untuk edisi akan datang, saya rasa sudah tiba masanya sasaran pingat emas ditingkatkan, mungkin kepada sekitar 10 hingga 12 emas,” katanya.
Dalam konteks serantau, landskap olahraga Asia Tenggara telah berubah dengan ketara apabila negara pesaing semakin tersusun, agresif dan berani melabur dalam acara tertentu yang memberi pulangan pingat konsisten.
Situasi itu, menuntut Olahraga Malaysia (MA) lebih realistik dalam menentukan keutamaan, termasuk berani mengakui bahawa tidak semua acara wajar dijadikan sasaran utama di peringkat Sukan SEA.
“Untuk Sukan SEA, kita tak perlu sasarkan pingat bagi acara yang jelas didominasi negara lain seperti pecut, sebaliknya fokus kepada acara yang kita ada peluang lebih besar seperti larian jarak jauh, dan jalan kaki,” katanya.
Acara pecut, yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan negara, kini semakin sukar ditembusi berikutan dominasi pesaing tradisi, justeru memerlukan penilaian semula dari sudut pelaburan jangka pendek dan jangka panjang.
Sebaliknya, acara seperti larian jarak jauh, 10,000 meter dan jalan kaki menawarkan prospek lebih munasabah sekiranya dibangunkan secara konsisten dan berfokus.
“Program ke arah 2027 perlu lebih terperinci, teliti dan fokus. Kita perlu kenal pasti prospek emas dan gilap mereka sebaik mungkin kerana kita akan menjadi tuan rumah,” katanya.
Bagaimanapun, cabaran baharu turut muncul apabila semakin ramai atlet jarak jauh memilih laluan maraton, didorong faktor ganjaran kewangan dan pendedahan profesional yang lebih luas.
Fenomena ini memerlukan MA membina ekosistem lebih fleksibel, bukan sekadar berorientasikan trek, tetapi mampu mengimbangi keperluan prestasi Sukan SEA dan realiti kerjaya atlet.
Persiapan ke arah 2027 juga tidak boleh bersifat umum atau terlalu bergantung kepada label program sedia ada, sebaliknya memerlukan perancangan lebih terperinci, teliti dan berasaskan potensi sebenar.
Nama seperti Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Andre Anura yang diketengahkan Nazmizan menggambarkan keperluan memberi kepercayaan awal kepada atlet muda yang memiliki profil sesuai untuk dimatangkan dalam tempoh dua tahun.














