fbpx
Gambar kenangan Miza (kiri) mendukung anaknya, Alhafiz bersama arwah suami yang memangku Aljufri.

‘Saya tidak kuat, terlalu awal arwah tinggalkan kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Raungan kanak-kanak, Alhafiz Hairul Fazuli, 7, mengundang rasa pilu banyak pihak ketika jenazah bapanya, Hairul Fazuli Zakaria, 52, diturun ke liang lahad di Mersing, Johor pada 26 Disember lalu.

Laungan kanak-kanak yang memanggil arwah bapanya tular di media sosial sekali gus meruntun hati netizen.

Miza Mastura Ishak, 30, berkata, suaminya meninggal dunia ­akibat serangan jantung ketika bekerja di kedai makan milik mereka sendiri, arwah sebagai tukang masak, manakala Miza hanya menemani suaminya berniaga.

Pemergian Hairul Fazuli me­ninggalkan Miza bersama tiga anak kecil iaitu Alhafiz, Aljufri Hairul Fazuli, 3, yang merupakan kanak-kanak autistik serta bayi mereka, Annur Safura Hairul Fazuli, tiga bulan.

“Saya tidak kuat. Terlalu awal arwah meninggalkan saya. Dengan anak kecil dan anak kedua yang memerlukan perhatian le­bih, saya tak terbayang bagaimana nak teruskan hidup. Saya takut sangat,” katanya.

Katanya, ketika suaminya tidak sedarkan diri, Miza hanya sempat memerhati dari pintu ambulans.

Gambar tular Alhafiz yang menanggil bapanya ketika pengebumian di Mersing, Johor pada 26 Disember lalu.

“Sejurus pekerja saya hubungi, saya minta abang saya hantar ke sana. Tapi suami sudah dimasukkan ke dalam ambulans. Selepas bantuan kecemasan selama 30 minit, doktor sahkan dia tidak dapat diselamatkan. Hati saya hancur,” ujarnya.

Jelasnya, Alhafiz turut berada di masjid ketika pengurusan jenazah kerana kanak-kanak itu sejak awal lagi menunggu untuk bertemu ayahnya buat kali terakhir.

Jenazah kemudian dibukakan wajah di tanah perkuburan, membolehkan Alhafiz mencium ayahnya buat kali terakhir.

“Sesi memujuk (kejadian tular) pun tidak lama sebab memang dari masjid saya beritahu nanti cium ayah buat kali terakhir sebelum ayah ma­suk syurga,” katanya.

Untuk mengurangkan kesedihan anak-anak, Miza memberi telefon kepada mereka agar tidak terus mengingat ayah mereka.

“Kalau tidak, mereka akan terus bertanya. Bila nampak beg ayah, mereka akan peluk sambil menangis seperti ketika di pusara, saya harap diri ini kuat untuk anak-anak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN