fbpx
HOBI memancing boleh dijadikan sebagai lubuk rezeki membawa pulang wang tunai ratusan ribu ringgit. - GAMBAR HIASAN

Isteri suka kaki pancing bawa balik duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebahagian pemancing bagaikan tiada istilah kumpau dalam hobi mereka apabila menjadikan pertandingan memancing sebagai lubuk rezeki membawa pulang wang tunai ratusan ribu ringgit dengan hanya menggunakan mo­dal kecil dan kemahiran membuat umpan.

Ada antara mereka pernah berjaya mengumpul mencecah RM200,000 dan memasukkan sebahagiannya ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hasil daripada hobi yang memerlukan kemahiran menaikkan ikan kolam, tasik dan laut.

Pembuat batu nisan, Mohd. Fadzil Mohd. Dzin, 52, berkata, kemenangan terbesarnya adalah RM132,500 yang diperolehi dalam pertandingan memancing ikan keli di Kolam Den, Ulu Yam, Selangor tahun lalu.

Katanya, kemenangan itu diraih selepas dia menaikkan ikan keli seberat 1.87 kilogram seperti ditetapkan penganjur.

“Selama 17 tahun meman­cing, saya ada masuk sembilan pertandingan utama dan raih hadiah sehingga RM200,000. Selain simpan dalam KWSP, saya gunakan untuk perbelanjaan harian, keluarga dan modal sertai pertandi­ngan lain.

“Sekarang banyak pertandi­ngan skala besar dan meluas. Dulu hadiah sekitar RM1,500 sahaja, tetapi sekarang ada pertandingan menawarkan RM80,000 hingga RM300,000, malah ada yang merancang ha­diah mencecah RM1 juta pada tahun depan,” katanya.

Menurut Mohd. Fadzil, hadiah besar itu mampu ditawarkan kerana jumlah penyertaan yang sa­ngat tinggi, mencecah antara 5,000 hingga 6,000 peserta bagi satu pertandingan dengan yuran penyertaan RM140 satu pancing.

Tambahnya, dia mengeluarkan modal sekitar RM5,000 untuk membeli rod, mesin dan beberapa peralatan lain tetapi kepuasan sebenar bukan pada hadiah tetapi terletak pada pe­ngalaman serta perasaan apabila umpan disambar serta ikan berjaya dinaikkan ke darat.

“Sokongan keluarga terutama isteri juga memainkan peranan penting kerana tanpa sokongan mereka, sukar untuk saya aktif menyertai pertandingan,” katanya yang berasal dari Rantau, Negeri Sembilan.

Di Pontian, operator kilang, Eremi Paing, 53, berkata, duit kemenangan RM50,000 selepas menaikkan ikan keli bersaiz jumbo yang dimenanginya pada 2019 di Kojie Batik di Tasik Indera Mahkota, Pahang digunakan untuk membeli motosikal dan membaiki rumah.

“Tak sangka hobi suka-suka membuatkan saya seolah-olah mendapat jackpot dan bonus. Ia membuatkan kita ketagih sebab lepas menang rasa nak menang lagi.

“Kali kedua saya dapat RM10,000 ketika memancing ikan keli seberat lapan kilogram di Tasik Agro Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan ketiga dapat RM5,000 di Tasik Pelindung, Kuantan,” katanya yang mengeluarkan modal RM1,400.

Di Shah Alam, penjawat awam, Mohd. Jeffri Abdul Halim, 24, berkata, hobi memancing membuatkannya mendapat le­bih RM3,000 selepas menyertai pertandingan.

“Pertama kali menang RM50 kira-kira setahun lalu membuatkan saya ketagih. Bila asyik menang, rasa seronok lain macam dan sejak itu saya kerap memancing.

“Setakat ini saya dapat wang hasil pancing lebih RM3,000 dan semua duit itu digunakan untuk baiki dan tambah peralatan memancing. Selebihnya untuk belanja harian,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN