IPOH – Pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Terowong Menora, Kuala Kangsar menunjukkan impak positif apabila jumlah kemalangan di lokasi itu menurun dengan ketara.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, statistik menunjukkan jumlah kemalangan di Kilometer (KM) 256.2 hingga KM267 Lebuh Raya Utara-Selatan sejak Januari hingga Disember 2023 sebanyak 489 kes.
“Jumlah kemalangan di lokasi sama tahun lalu sedikit menurun iaitu 475 kes, namun tahun ini berkurang dengan ketara selepas kamera AES dipasang pada Jun tahun lalu (arah utara) dan Julai (arah selatan),” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di sini baru-baru.
Menurutnya, sejak Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 288 kemalangan direkodkan sekali gus membuktikan keberkesanan pemasangan AES di lokasi itu yang saban tahun merekodkan jumlah kemalangan tinggi.
Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, jumlah kemalangan maut pada 2023 sebanyak tiga kes, sembilan kes (2024) dan lima kes (Januari-Oktober lalu).
“Pemasangan AES di lokasi itu membuatkan pemandu lebih berjaga-jaga. Antara punca kerap berlaku kemalangan adalah faktor muka bumi yang berliku dan curam terutama arah utara.
“Biasanya (punca kemalangan) disebabkan sikap pemandu kerana mereka memandu laju. Rata-rata (pemandu) yang terlibat kemalangan berusia 30 hingga 40 tahun,” katanya.
Noor Hisam berkata, kesesakan teruk akan berlaku terutama apabila melibatkan kenderaan berat seperti lori kerana jentera berat tersebut melintang atas jalan raya.
Bagaimanapun, jika kesesakan berlaku akibat kenderaan dipandu perlahan di kawasan pemasangan AES, ia memberi impak positif kerana menyumbang kepada penurunan kemalangan di Terowong Menora.
“JSPT Perak akan terus meningkatkan rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi tersebut dari semasa ke semasa supaya kemalangan dapat terus dikurangkan,” katanya.














