THERE’S a sign on the wall, but she wants to be sure, ‘cause you know sometimes words have two meanings. Demikian bait lirik dalam lagu Stairway to Heaven, sebuah masterpiece daripada kumpulan Led Zeppelin.
Secara keseluruhannya lirik ini menggambarkan manusia yang mencari makna hidup. Dalam perjalanan tersebut akan diuji keraguan meskipun petunjuk, nasihat hidup sudah ada.
Pencarian makna yang lebih dalam. Bukan sekadar melihat apa yang terzahir di permukaan. Ia menekankan bahawa sesuatu petunjuk pun boleh disalah tafsir. Kadang-kadang apa yang terlihat indah, tidak membawa makna yang sama pada hakikatnya.
Secara peribadinya permainan bahasa, ejaan sudah semestinya menjadi tanggungjawab hakiki penulis. Tugas-tugas penyuntingan naskhah seperti menyemak fakta, ejaan, tatabahasa selain memastikan berita jelas, tepat dan mematuhi etika kewartawanan antara garis panduan wajib dipatuhi sehari-hari.
Bahasa mudahnya orang cakap ‘mata cari salah’. Perkataan ‘kencang’ jika huruf ‘a’ tertukar dengan huruf ‘i’ sudah berubah makna. Ini kisah nyata yang terjadi berbelas tahun lalu dalam sebuah akhbar. Angin kencang tertukar menjadi angin kencing.
Jadi penulis sejak wartawan kadet sudah diingatkan. Mandatori bagi menyemak setiap ejaan. Kami ditekankan untuk merujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Namun biasalah manusia. Ada petunjuk pun tetap mahu langgar. Contohnya setiap hari ada sahaja berita individu-individu menjadi mangsa penipuan dilaporkan di media. Baik dalam media cetak atau online.
Orang Kedah kata ketegaq (ketegar). Latar belakang mangsa pun bukan calang-calang, baik golongan profesional mahu pun penjawat awam berpencen. Pelbagai petunjuk (amaran) sudah diuar-uarkan.
Empat hari lalu, Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM mengeluarkan statistik mangsa jenayah telekomunikasi bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.
Statistik merekodkan sebanyak 28,698 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian mencecah RM715 juta. Pecahan umur mangsa pula menunjukkan golongan berusia 21 hingga 30 tahun mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, diikuti oleh kumpulan umur 31 hingga 40 tahun dan 41 hingga 50 tahun.
Secara tidak langsung golongan muda yang celik IT pun tidak terkecuali daripada menjadi mangsa.
Kita mudah percaya sebelum sindiket penipuan perdaya. Mungkin pihak DBP kena ‘campur tangan’, tukar perkataan percaya dan perdaya ini. Ejaannya pun berbeza satu huruf sahaja, ‘c’ dan ‘d’.
Kalau boleh ‘mansuhkan’ salah satu perkataan. Susah betul mahu mendidik masyarakat hari ini. -KOSMO! ONLINE













