TATKALA diumumkan sebagai penerima anugerah Top in Malaysia dalam subjek Perakaunan bagi peperiksaan AS (Advanced Subsidiary) Level Mei/Jun 2025, Mohamad Hadif Mohamad Rosli bagaikan tidak percaya.
Dia yang merupakan pelajar tahun dua program A-Level Australia Kolej Mara Seremban (KMS), Negeri Sembilan tidak menyangka segala penat lelah dan usahanya mengulang kaji pelajaran akhirnya terbalas.
Mohamad Hadif atau lebih mesra disapa Hadif merupakan salah seorang daripada 339 pelajar yang menerima pengiktirafan dalam Outstanding Cambridge Learner Awards di Dwi Emas International School, Selangor baru-baru ini.
Kejayaan itu bukan sahaja membanggakan keluarga, malah memberi inspirasi kepada seluruh warga pelajar dan pendidik bahawa setiap cabaran boleh diubah menjadi peluang untuk berjaya.
Berkongsi dengan K-Remaja, jejaka berusia 19 tahun itu memberitahu, dia asalnya merupakan pelajar bidang Sains Tulen sebelum memilih untuk menukar haluan kepada bidang perakaunan, dan ia datang dengan cabaran.
“Cabaran terbesar saya adalah peralihan daripada aliran Sains Tulen di sekolah kepada Sains Sosial di peringkat A-Level.
“Saya perlu meneroka subjek baharu seperti Perakaunan dan Ekonomi. Oleh itu, saya mengambil peluang yang ada bertanya kepada pensyarah bagi memastikan pemahaman saya tepat. Saya juga sering menonton video dalam YouTube sebagai bahan pembelajaran tambahan,” katanya membuka bicara.
Anak kelahiran Gombak, Selangor itu berkata, subjek Perakaunan memerlukan ketelitian dan daya analisis.
“Sejujurnya, minat saya terhadap subjek Perakaunan ini datang daripada rasa kepuasan apabila dapat memahami sesuatu yang kompleks dan menjadikannya jelas.
“Subjek ini juga melatih saya berfikir secara teratur dan analitikal, sekali gus menjadi pendorong buat saya untuk lebih mendalaminya.
“Gelaran Top in Malaysia pula adalah hasil daripada konsistensi dan disiplin sepanjang mengikuti program ini,” jelasnya.
Ditanya tentang strategi yang digunakan untuk muncul Top in Malaysia, Hadif memaklumkan, dia sentiasa melakukan ulang kaji awal bagi setiap topik yang akan dipelajarinya di dalam kelas.
“Bagi saya, hal ini membolehkan saya bersedia lebih awal untuk menghadapi topik yang sukar.
“Oleh itu, saya dapat memahami silibus pembelajaran dengan lebih cepat berbanding pelajar-pelajar lain,” katanya.
Akui Hadif, aspek pengurusan masa sebagai pelajar, lebih-lebih lagi untuk persediaan menghadapi peperiksaan adalah sangat penting.
“Saya sentiasa memperuntukkan masa untuk mengulang kaji pelajaran, menyiapkan tugasan dan bersukan pada setiap hari.
“Sebagai contoh, selepas kelas saya akan menyiapkan tugasan harian terlebih dahulu sebelum pergi bersukan.
“Manakala pada waktu malam, saya akan mengulang kaji subjek-subjek yang lain.
“Selain itu, pihak kolej menyusun pelbagai aktiviti dan bengkel bagi membantu para pelajar dalam semua subjek.
“Saya sangat beruntung kerana mempunyai ekosistem dan sistem sokongan yang sangat baik di KMS bagi membantu kejayaan dalam pelajaran,” kata Hadif yang mengimpikan untuk menyambung pengajian dalam bidang kewangan.

Mengakhiri bicara, Hadif berpesan kepada pelajar lain yang mungkin berminat mengambil jurusan perakaunan supaya tidak takut terhadap formula.
“Pesanan saya, perakaunan hanya kelihatan sukar pada permulaan tetapi sangat mudah apabila sudah memahami asasnya.
“Jangan takut dengan formula, fahamkan cerita di sebalik setiap transaksi. Dengan latihan yang konsisten, sesiapa pun boleh cemerlang,” katanya.
Berkongsi kegembiraan tentang pencapaian pelajarnya, Pengarah KMS, Rosmaria Abdullah berkata, elemen utama yang menyumbang kepada kejayaan itu termasuk persekitaran pembelajaran holistik di KMS.
“KMS sentiasa menekankan keseimbangan antara akademik dan pembangunan sahsiah cemerlang.
“Pelajar juga didedahkan kepada budaya belajar yang positif, sokongan rakan sebaya dan bimbingan secara berterusan warga KMS.
“Selain itu, Bahagian Pendidikan Tinggi Mara (BPT) sentiasa memberi bantuan dan peruntukan kewangan yang mencukupi.
“Kemudahan kolej juga sentiasa dinaik taraf untuk keselesaan pensyarah dan pelajar,” katanya.
Rosmaria menambah, para pelajar KMS bukan sekadar berorientasikan akademik, malah mereka juga serba boleh dan mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi.
“Dalam program prauniversiti seperti diambil oleh Hadif, pihak kolej menyeimbangkan tuntutan akademik yang intensif dan turut memberi perhatian kepada keperluan emosi serta psikologi pelajar.
“Pihak kolej bukan sahaja memberi penekanan kepada pelajar yang cemerlang, malah menyokong mereka mempunyai bakat terpendam untuk menyertai pelbagai aktiviti termasuk seni persembahan, keusahawanan dan program kepimpinan,” katanya.














