SUNGAI BULOH – “Mereka mungkin orang kurang upaya (OKU), tetapi mereka juga manusia biasa yang mahu bekerja dan dihargai”
Demikian prinsip dipegang pengusaha Stesen Minyak Petronas Bukit Rahman Putra di sini, Mohamad Khir Amran, 67.
Beliau membuka peluang pekerjaan kepada golongan OKU sehingga menjadikan stesennya antara contoh tempat kerja inklusif yang menyentuh hati.
Mohamad Khir berkata, inisiatif pengambilan pekerja OKU itu dilaksanakan dengan kerjasama Petronas dibawah program SEEd.lab menerusi pertubuhan sosial Enoku.
Menurutnya, beliau ketika itu ditanya sama ada berminat memberi peluang pekerjaan kepada OKU dan pada masa sama pernah melihat ramai OKU diambil bekerja di sebuah restoran di Singapura.
“Saya tengok pekerja di restoran itu tidak mampu bertutur (bisu) dan kurang pendengaran, tetapi sistem kerja mereka sangat rapi. Pelanggan pun bertolak ansur. Dari situ saya fikir, kenapa tidak kita boleh buat perkara sama di sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Mohamad Khir berkata, niat asalnya bukan sekadar mahu membantu, tetapi berbakti kepada golongan OKU yang sering berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana stigma masyarakat.
Katanya, seramai empat pekerja OKU berkhidmat di stesen minyak beliau antaranya Mohd. Hazmin Bujang, 35, yang merupakan OKU penglihatan pada sebelah mata.
Menurut beliau, OKU lain ialah Zuhairisam Ahmad, 40, yang merupakan OKU fizikal melibatkan tangan dan kaki serta seorang lagi lelaki OKU fizikal berusia 42 tahun.
Kata beliau, turut bekerja ialah Muhammad Afiq Mohd. Nor, 26, yang merupakan OKU pembelajaran yang bertugas sebagai juruwang.
“Muhammad Afiq bekerja dengan baik sebagai juruwang asalkan dilayan dengan nada suara yang lembut dan tidak dimarahi,” katanya.
Mengakui cabaran pada peringkat awal, beliau berkata, bukan sahaja pelanggan, malah sebahagian staf sendiri mempunyai prasangka terhadap keupayaan pekerja OKU.
Bagaimanapun, katanya, beliau mengambil pendekatan untuk memberi kefahaman dan menekankan soal toleransi kepada pekerjanya.
“Halangan itu kena dipecahkan. Yang mereka tak boleh buat, staf lain bantu. Kita agihkan kerja. Sekarang ada 12 staf lelaki dan perempuan tidak termasuk OKU dan semuanya kini bekerja sebagai satu pasukan,” jelasnya.
Bagi memudahkan urusan, Mohamad Khir turut menyediakan hostel berhampiran stesen minyak kerana sebahagian pekerja OKU terbabit datang dari jauh.
Katanya, selepas diberi peluang, golongan itu dilihat bekerja dengan bersungguh-sungguh, jujur dan amanah seperti staf lain.
“Ada kalanya pelanggan bersimpati, bercakap lebih lembut, malah ada yang bersedekah baki bayaran atau belikan makanan. Kalau mereka dapat duit lebih, mereka akan tunjuk pada saya. Saya kata simpan, itu rezeki kamu,” katanya.
Menurutnya, semasa sesi temu duga, kebanyakan pekerja OKU terbabit mengadu sukar mendapat kerja dan ada yang pernah bekerja, tetapi sering dimarahi di tempat kerja lama.
Daripada segi kebajikan, Mohamad Khir menegaskan pekerja OKU menerima layanan sama seperti staf lain termasuk gaji, bayaran kerja lebih masa, cuti serta kenaikan gaji tahunan.
“Alhamdulillah, sejak ambil mereka bekerja, saya rasa rezeki saya pun bertambah. Bukan sebab ambil kesempatan, tetapi bila niat kita betul, rezeki itu datang sendiri. Kalau nak ambil kesempatan, lebih baik jangan ambil,” katanya.
Beliau turut merancang untuk mengambil seorang lagi pekerja OKU dengan kerjasama Enoku yang dijadual hadir untuk temu duga pada 9 Januari 2026.
“Pada saya mereka OKU, tetapi mereka juga manusia yang mampu bekerja. Cuma mereka perlukan peluang dan sokongan,” katanya.
Sementara itu, Zuhairisam berkata, dia pernah bekerja di tempat lain, tetapi suasana kerja di Stesen Minyak Petronas Bukit Rahman Putra jauh lebih baik kerana suasananya yang harmoni.
“Saya terasa diri kurang bagus berbanding pekerja bukan OKU, ada yang saya tak mampu buat, tapi rakan sekerja faham dan tidak paksa malah membantu. Bos pun kata buat apa yang mampu,” katanya.
Muhammad Afiq pula berkata, beliau bersyukur memperoleh pekerjaan sekarang kerana dikelilingi rakan sekerja yang dapat menerima kekurangannya.














