SEBAGAI seorang pencinta dunia sinema, tiada apa yang diharapkan selain melihat karya anak tempatan terus digemilangkan. Bukan sahaja dari segi kuantiti, bahkan juga kualiti.
Ada bahagian dalam diri rasa seperti tersiat-siat apabila poster filem terbaharu, Duyung: Legenda Aurora menjadi ejekan netizen.
Filem pertama, Duyung yang diterbitkan pada 2008 bukan sempurna, namun ‘kuat’ dari segi impak ‘cultural’, perintisan teknik janaan komputer (CGI) dan perihal penting lain dalam kemenjadian sesebuah karya komedi romantik fantasi.
Secara peribadi, apabila dilaporkan Duyung akan ada sekuel selepas 17 tahun jeda, sudah boleh jangka apa hasil akhirnya. Bukan menidakkan kewibawaan produksi menerbitkan satu lagi filem, tapi tepuk dada tanya selera.
Apabila pengarah, Datuk Profesor Dr. A. Razak Mohaideen mendedahkan ‘kecacatan’ poster yang disifatkan sebagai gimik pemasaran, itu adalah satu perkara yang sukar diterima.
“Poster itu memang salah satu gimik. Kita mahu penonton lebih peka,” katanya pada sidang akhbar tayangan perdana filem itu baru-baru ini.
Bukan mahu menghentam membuta tuli, alasan terbabit pada tahun 2025 agak kurang munasabah. Kalau benarlah ingin menggunakan segala teknologi (dibaca: kecerdasan buatan atau AI), tolong buat dengan sebetul-betulnya.
Alasan sengaja buat kerja tangkap muat agar apa yang dibentangkan kepada audiens berfungsi sebagai satu bentuk pemasaran memang tidak boleh diterima. Lebih-lebih lagi sekarang sudah tahun 2025 — semuanya berdaya maju ke hadapan.
Sekadar lontaran idea, di Malaysia ramai anak muda berbakat yang mempunyai kapasiti bekerja di ruang lingkup CGI atau VFX seperti Sofyank. Takkan sampai Sofyank bekerja dengan agensi kerajaan Singapura lagi, baru nak ‘ternganga’.
Penonton tempatan semestinya ingin sekali berkunjung ke panggung dan pulang dengan senyuman bersama harapan, inilah masa depan filem lokal. Tapi, kalau itu tidak berlaku, ada banyak perkara yang perlu dikerjakan dengan semangat kebersamaan.
Kalau tidak, berkokok sahaja kita dengan Tan Sri Michelle Yeoh membina nama di Hollywood yang menjadi anak Malaysia pertama menggenggam Oscar, sedangkan barangkali 90 peratus kariernya terbina di luar.
Pada masa sama, berputih mata kita melihat filem-filem sains fiksyen negara jiran – Indonesia misalnya, yang sudah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Hollywood.
Pengarah filem Avatar, James Cameron sendiri mengharamkan penggunaan AI dalam filem terbaharunya, Avatar: Fire And Ash sedangkan di sini, tanpa malu dan segan mengaku berbuat demikian atas nama agenda pemasaran.
Apabila benda dikerjakan half baked dan tidak memartabatkan dunia sinema, jangan hairan kalau semua yang berlegar-legar di media sosial adalah bersifat negatif.
Apapun, semoga filem Duyung: Legenda Aurora mendapat tempat di hati penonton seperti filem pertamanya pada 2008.
Filem Duyung ialah karya ikonik yang ada bersama kebanyakan anak-anak yang membesar era 1990-an, usah dikhianati mahakarya yang melahirkan karakter ikonik seperti Orix, Kodi dan Aspalela ini. Majulah filem untuk negara!
















