SAUDARA PENGARANG
Saya ingin memberi teguran kepada peniaga-peniaga kedai makanan.
Ada peniaga yang giat mengiklankan menu baharu atau hidangan istimewa di media sosial, tetapi apabila pelanggan datang ke premis, menu itu pula tiada, kehabisan stok atau belum disediakan lagi.
Situasi ini bukan sahaja mengecewakan pelanggan, malah menimbulkan rasa tertipu.
Lebih-lebih lagi apabila pelanggan sanggup datang dari jauh dengan kos minyak petrol, dengan harapan untuk menikmati menu yang dipromosikan.
Kekecewaan sebegini sering berakhir dengan satu keputusan mudah, tetapi besar kesannya iaitu pelanggan tidak akan datang lagi.
Industri perniagaan makanan kini berdepan cabaran besar, daripada kos bahan mentah yang meningkat, persaingan sengit, sehinggalah perubahan selera pengguna.
Dalam keadaan yang mencabar ini, kepercayaan pelanggan sepatutnya menjadi aset paling bernilai.
Bagi peniaga, menjaga pelanggan bukan pilihan, tetapi keperluan. Dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar, sikap ambil mudah hari ini boleh menjadi punca gulung tikar esok hari.
KARIM
Shah Alam














