LANGKAWI – Cuti persekolahan yang bermula minggu ini kembali menghidupkan pulau peranginan ini apabila rata-rata lokasi tumpuan pelancong mula diserbu pengunjung.
Tinjauan di beberapa kawasan tumpuan pelancongan semalam mendapati, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menikmati produk pelancongan yang ditawarkan walaupun terpaksa beratur panjang.
Seorang pengurus penginapan, Yusmiza Yum, 44, berkata, bilik penginapan yang diuruskannya habis ditempah pelancong sebelum cuti sekolah hujung tahun bermula lagi.
“Ada pelancong yang mengubah fikiran dan memilih Langkawi sebagai destinasi pelancongan bersama ahli keluarga mereka
“Saya juga ada menghantar tetamu ke tempat tumpuan pelancong seperti kereta kabel. Saya melihat orang ramai berbaris panjang untuk membeli tiket, nampak ramai yang memilih bercuti di Langkawi,” katanya.
Sementara itu, seorang ejen pelancongan, Mohd. Syafiq Zaini, 29, memberitahu, hotel-hotel penginapan di sekitar Pantai Chenang di sini telah penuh ditempah pelanggan.
“Hotel di sepanjang Pantai Chenang penuh ditempah bermula dari hari ini (semalam) sehingga 10 Januari ini.
“Hotel yang menjadi pilihan pengunjung yang kami tawarkan kebanyakannya berada di tepi pantai, jadi kami mencadangkan kepada pengunjung untuk menginap di Kuah memandangkan hotel kami telah penuh,” ujarnya.
Dalam pada itu, ejen kereta sewa, Amirul Amar, 39, berkata, kereta sewa miliknya telah penuh ditempah pelanggan sempena musim cuti
persekolahan dan cuti umum Hari Krismas dan Tahun Baharu.
“Kebanyakan mereka telah menempah kira-kira dua bulan lalu, dan kini kenderaan milik saya telah habis ditempah.
“Kebanyakan kereta yang menjadi pilihan pelancong adalah kenderaan tempatan” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan ribuan pelancong tempatan dijangka memilih Pulau Langkawi sebagai destinasi alternatif susulan Hatyai yang terjejas teruk akibat banjir besar belum bersedia menerima kunjungan dalam masa terdekat.
Industri pelancongan Hatyai hanya dijangka pulih sepenuhnya pada penghujung Januari 2026.















