fbpx
MUHAMMAD NABIL menziarahi warga emas yang uzur di Kampung Batu 30, Hulu Yam lama.

Drebar JKR kini penghulu Mukim Ulu Yam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Itu peribahasa tepat menggambarkan perjalanan hidup Muhammad Nabil Salehat, 37, yang bertukar 360 darjah daripada pemandu Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada penghulu.

Anak jati Sungai Air Tawar itu berkata, permohonan sebagai penghulu pada tahun 2014 sekadar mencuba nasib mengubah kehidupan selepas menyertai JKR menggunakan Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Katanya, syarat pelantikan Penghulu melalui sistem Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memerlukan seseorang mempunyai rekod 10 tahun dalam kerja kemasyarakatan.

“Proses temuduga bukan mudah. Seingat saya, ketika itu SPA menerima lebih 1,000 permohonan, 300 dipanggil temu duga, dan kekosongan cuma enam jawatan.

“Saya guna sijil-sijil sukarelawan JKR termasuk dalam operasi bantuan banjir besar Kelantan 2014 sebagai ‘penyelamat’.

“Masa temubual pun saya hadir berbaju Melayu lengkap, calon lain pakai blazer dan tali leher. Mungkin itu membezakan saya sehingga terpilih dan ia merupakan rezeki,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Muhammad Nabil yang berkelulusan Diploma Kejuruteraan Alam Sekitar dari Politeknik Sultan Idris memulakan kerjaya sebagai penghulu pada tahun 2017 dan ditugaskan di Mukim Ulu Yam.

Ujarnya, dia yang berusia 29 tahun ketika itu membuatkan masyarakat kampung agak terkejut susulan jawatan itu kebiasaannya disandang orang yang berumur.

“Memang diakui masyarakat kampung sedikit janggal memanggil ‘Tok’ namun lama kelamaan panggilan itu tetap melekat dan saya pun terima dengan adanya walaupun ketika itu usia masih muda.

“Saya berpegang kepada nasihat orang-orang tua, apabila bermasyarakat perlu bermula di masjid atau surau kerana terdapat kariah pelbagai umur,” ujarnya.

Sepanjang menjawat penghulu dia pernah dipindahkan ke Mukim Kerling selama lebih dua tahun sebelum ditempatkan semula di Ulu Yam.

Kata Muhammad Nabil, terdapat tujuh ketua kampung di bawahnya dengan empat adalah kampung tradisi, Kampung Baru Cina (2) dan satu Kampung Orang Asli dengan jumlah keseluruhan penduduk dianggarkan 20,000.

“Pelbagai aduan diterima namun kebanyakan lebih kepada hal-hal keluarga penduduk dan sikap sambil lewa dalam urusan daftar kelahiran.

“Ada kes yang diterima sampai sudah umur 23 tahun tidak mempunyai sijil lahir. Semua disebabkan apabila perkahwinan dengan warga asing,” katanya.

Jelasnya, isu paling sukar apabila melibatkan pengurusan harta pusaka terutama tanah dengan rata-rata penduduk yang telah berusia tidak celik mengenainya.

“Semua itu akan menyukarkan kepada generasi-generasi seterusnya. Jadi, itu antara fokus saya ketika ini.

“Selain itu, saya turut meminta ketua-ketua kampung memanfaatkan teknologi dalam penyusunan data-data penduduk dalam memudahkan sebarang bantuan dan sokongan lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN