KEBIASAANNYA ketika musim tengkujuh, di kawasan sungai dan muara keadaan airnya akan bertukar menjadi keruh. Pada masa inilah ikan kuku akan memunculkan diri.
Kali ini, kami memilih tiga lokasi memancing yang berbeza untuk diterokai iaitu Pulau Melaka, Muara Pak Amat dan Sungai Kampung Madat di Kelantan.
Ketiga-tiga lokasi ini mempunyai struktur yang berbeza-beza. Pulau Melaka strukturnya tiang jambatan, Muara Pak Mat (hamparan batu) dan Kampung Madat (sangkar tiram).
Selain itu, ikan kuku boleh dipancing di lokasi seperti Tok Bali, Muara Kemasin, Muara Kemayan, Muara Senok dan Muara Sabak.
‘Senjata’
Setup terbaik memancing ikan kuku mudah sahaja, anda perlu sediakan stopper atau gelang getah dan mata kail antara saiz 10 hingga 14.
Joran pula, memadai daripada jenis ultra light dan medium light sekitar 4.5 sehingga enam kaki panjang.
Kekili pula saya lebih gemar guna antara saiz 500 sehingga 1000 yang diisi tali tangsi antara enam sehingga 12lb.
Umpan yang sering digunakan pemancing ikan kuku pelbagai mengikut lokasi menjadi target.
Antaranya ramuan tepung gandum, ayam goreng separuh masak, roti canai, roti, ketam rumput, udang hidup atau mati dan isi kerang.
Jambatan Pulau Melaka
Memancing ikan kuku di tiang jambatan Pulau Melaka ini perlu dilakukan dari atas bot kerana spesies ikan itu banyak bermain di bahagian dalam tiang jambatan dan sukar untuk dipancing dari atas jambatan atau dari arah tebing sungai.
Lagipun tiang-tiang jambatan di sini terdapat banyak kehidupan bercengkerang seperti tiram yang juga merupakan makanan utamanya, selain ketam kecil dan udang.
Ikan kuku memiliki gigi yang kuat dan tajam, ia digunakan untuk memecahkan cengkerang tiram bagi mendapatkan isinya.
Salah satu tiang jambatan di sini terdapat satu struktur seperti tiang batu pagar yang sengaja disandarkan pada tiang jambatan tersebut seolah-olah rumah buat ikan-ikan pemangsa.
Sebaik sahaja sauh dilabuhkan, kami mula menghulurkan umpan masing-masing.
Pada pagi itu, saya dan Bob menggunakan cebisan roti, manakala Abang Jeff guna ketam yang ada di dalam bot kami naiki.
Tidak sampai seminit umpan ketam dilabuhkan, ia ditarik rakus tetapi mulut ikan tersebut tidak kena mata kail.
Saya dan Bob pada ketika itu hampir serentak ikan membaham cebisan roti yang kami hulurkan. Hanya Bob berjaya menaikkan ikan pengacau umpan iaitu ikan green chromide.
Memandang ketam sudah tiada lagi untuk dijadikan umpan, Abang Jeff menggantikannya dengan udang pasir bersaiz kasar pada tempat sama.
Baru saja udang pasir mencecah dasar, ikan terus membahamnya dan dengan sepantas kilat Abang Jeff menyentapnya.
Ikan yang terkena mata pancing tajam itu terus menjunam ke dasar sungai untuk melepaskan diri.
Berpusing-pusing Abang Jeff melayannya, beberapa detik kemudian ikan mula diheret menghampiri bot.
Ikan mulai timbul di permukaan air, melihat ikan kuku cepat-cepat Abang Jeff mengangkatnya naik ke dalam bot. Selepas itu, hanya ikan green chromide sahaja banyak dinaikkan
kami bertiga sampai trip ini berakhir.

Muara Pak Mat
Selang beberapa hari kemudian kami pula mencubanya di muara Pak Mat, lokasi yang tidak pernah mengecewakan saya apabila turun memancing ikan kuku.
Setiap tahun kami akan turun memancing ikan kuku di sini kerana biasanya saiz ikannya ‘kasar’.
Kalau memancing di hamparan berbatu anda perlu pandai memilih tempat, jika tersalah pilih pulang dengan tangan kosonglah jawabnya.
Tipnya mudah sahaja, sebelum datang musim memancing ikan kuku, anda perlu tanda lokasi yang mempunyai batu di dalam air pada musim air jernih.
Apabila tiba musim ikan kuku, maka tidak perlu lagi cari di mana lokasi terbaik untuk melabuhkan umpan. Tuju sahaja di mana lubuk yang anda tanda itu.
Memandangkan di sini terdapat pelbagai jenis ikan pengacau, kami lebih gemar guna umpan ketam rumput kerana ikan pengacau jarang mengutisnya.
Selain ketam itu, kami juga guna ramuan roti, hasilnya tidak mengecewakan cuma ia menjadi kegemaran si ikan pengacau.
Hasil yang kami perolehi pada hari itu amat mengecewakan dari segi saiznya, kebanyakan ikan kuku dipancing bersaiz dua ke tiga jari sahaja, dan selayaknya dilepaskan kembali.
Sungai Madat
Beberapa hari selepas itu, saya mengajak Bob untuk cuba memancing ikan kuku di Sungai Madat iaitu di kawasan sangkar tiram. Kalau lihat pada strukturnya naluri saya mengatakan ikan kuku pasti ada di situ.
Kali ini kami hanya menggunakan umpan ramuan roti yang dibuat oleh Bob.
Saya pilih tempat betul-betul dekat dengan sangkar tiram, manakala Bob memilih jeti kayu yang jaraknya dari sangkar tiram sejauh 50 meter.
Beberapa detik kemudian, umpan saya menerima ragutan kasar. Untuk pastikan ikan kuku ada di situ, saya tidak terburu-buru untuk menyentap joran.
Sebaliknya, saya karau perlahan tali supaya umpan tersisa itu tidak tercabut.
Melihat umpan yang diragut ikan itu ada kesan gigi kasar, itu menyakinkan saya ada ikan kuku di sekitarnya. Saya terus menukar umpan baharu dan lontar pada tempat sama.
Saya tidak perlu menunggu lama, ikan terus membaham umpan tersebut.
Kali ini, saya tidak melepaskan peluang, dan melakukan sentapan padu, ikan itu terus memecut.
Namun, cubaan untuk melepaskan diri oleh ikan itu hanya sia-sia, dan ia berjaya dipotretkan.
Selepas itu, Bob mula mendekati saya dan cuba memancing. Namun sayang, hasil daripada dua lagi ‘patukan’ padu dipercayai oleh ikan kuku tidak membuahkan hasil sehinggalah trip berakhir.














