fbpx
BERPENGALAMAN dalam projek besar di Hollywood, Arif optimis menubuhkan Osom School untuk melahirkan generasi berkemahiran teknologi pada masa depan.

Osom School, platform pembelajaran untuk kanak-kanak peminat AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERPENGETAHUAN luas dalam bidang kesan visual VFX di Hollywood menjadi pendorong anak kelahiran tempatan Arif Nizam, 26, membangunkan platform pendidikan teknologi dalam talian bernama Osom School.

Ditubuhkan pada 2024, Osom School menawarkan pembelajaran teknologi lebih mudah, menyeronokkan dan mampu diakses oleh pelajar khususnya golongan kanak-kanak yang meminati bidang kecerdasan buatan (AI), animasi tiga dimensi (3D), robotik dan teknologi kreatif.

Pengalaman terlibat dalam projek antarabangsa seperti Prehistoric Planet, The Walking Dead, Silo dan Aquaman 2 membuatkan Arif optimis Osom School dapat melahirkan generasi berkemahiran pada masa depan.

“Apa yang membezakan Osom School ialah pendekatan pembelajaran yang interaktif berbentuk penceritaan dan menggunakan karakter maya 3D yang mengajar pelajar seolah-olah mereka berada dalam dunia animasi.

“Dalam masa kurang dua tahun, Osom School berkembang daripada kelas online kecil dan sekarang kami dalam proses membangunkan tutor maya 3D berkuasa AI pertama di Malaysia yang membolehkan pelajar berkomunikasi dan mendapat penerangan secara masa nyata,” katanya kepada K-Tekno.

Teknologi AI itu secara tidak langsung memudahkan pelajar untuk memahami soalan dan tugasan sama seperti pembelajaran secara bersemuka seperti kaedah pembelajaran konvensional.

OSOM School membawa visi untuk mewujudkan satu ekosistem pembelajaran digital untuk generasi masa depan.

Osom School membawa visi untuk mewujudkan satu ekosistem pembelajaran digital untuk generasi masa depan yang bukan hanya belajar teknologi tetapi menjadi pencipta kandungan teknologi setaraf antarabangsa.

Kanak-kanak dapat diperkenalkan kepada teknologi pada usia awal, sekali gus membina generasi kreatif, berkemahiran dalam teknologi AI, robotik dan bersedia menghadapi inovasi dunia yang sentiasa berubah.

Kaedah pembelajaran interaktif yang menggabungkan animasi 3D bersama visual menarik dan penerangan langkah demi langkah memudahkan pelajar memahami topik kompleks dengan cara yang lebih ringan dan kreatif.

Malah, Osom School hanya memberi fokus kepada pelajar berusia tujuh hingga 16 tahun sahaja sebagai langkah untuk melahirkan pelapis muda seiring dengan pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

“Apa yang menjadikan Osom School berbeza ialah kami mengetengahkan pembelajaran dan pengajaran seperti seorang guru sebenar iaitu boleh bercakap, memberi maklum balas dan menerangkan sesuatu secara personal mengikut tahap pemahaman pelajar.

“Walaupun kelas kami dalam talian, pelajar dapat merasai pengalaman yang lebih ‘hidup’ dan berhubung berbanding pembelajaran online biasa. Objektif kami adalah memastikan setiap pelajar bukan sekadar faham tetapi benar-benar menikmati proses belajar.

“Gabungan teknologi dan pendekatan visual membolehkan pelajar membina kemahiran masa depan seperti animasi 3D, AI dan robotik melalui pengalaman menyeronokkan dan mudah diikuti,” katanya.

Teknik pembelajaran dalam talian itu tentu sahaja menjadi landskap pendidikan baharu pada masa kini. Disebabkan itu Arif mengharapkan agar ibu bapa dapat memahami nilai pembelajaran teknologi itu untuk anak-anak.

“Ramai masih terbiasa dengan kaedah tradisional, jadi kami perlu menunjukkan bukti yang jelas bahawa pendekatan moden seperti animasi 3D, AI dan pembelajaran interaktif boleh membantu anak mereka lebih fokus dan lebih cepat faham.

“Selain itu, cabaran paling besar ialah mengumpulkan rakan sepasukan yang bukan sahaja mahir dalam kemahiran teknikal tetapi juga mempunyai prinsip juang yang tinggi untuk memartabatkan ilmu.

“Membangunkan Osom School bukan sekadar projek teknologi tetapi ia merupakan matlamat pendidikan dan tidak semua orang sanggup bekerja dengan hati, kesabaran dan idealisme yang sama,” ujarnya.

Selain dalam proses pembangunan guru AI, Arif bersama pasukannya juga sedang merangka pendekatan baharu yang bukan sahaja memudahkan pembelajaran tetapi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan berkualiti. Perkara itu akan dimaklumkan olehnya dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN