fbpx
Sebanyak lima hingga tujuh episod hujan lebat diramal berlaku sepanjang Monsun Timur Laut kali inin yang akan berakhir pada Mac tahun depan.

Mohon dijauhkan Pantai Timur daripada bah besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HUJAN yang kembali membadai beberapa kawasan di Pantai Timur ketika ini mengingatkan penulis tentang satu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tahun 2014.

Peristiwa di mana dipanggil ‘bah kuning’ dan pada waktu ratusan ribu rakyat di Pantai Timur terkesan dengan bencana tersebut.

Tidak terkecuali kepada keluarga penulis yang menetap di sebuah kampung di Kuala Krai, Kelantan yang mana ketika ini hanya bangunan sekolah empat tingkat menjadi ‘kubu’ perlindungan mereka.

Dari sebesar-besar banglo dua tingkat sehingga sekecil-kecil rumah papan semua tenggelam dan hanya tinggal bumbung. Semua barang dalam rumah tidak dapat diselamatkan termasuk haiwan ternakan, hanya beberapa dokumen penting dan nyawa dibawa ke pusat pemindahan.

Begitu tragik suasana waktu itu, tetapi penulis bersyukur ratusan penduduk kampung semuanya selamat di sekolah berkenaan.

Walaupun kesan lumpur bah kuning masih ada, namun penulis dan penduduk Kelantan sentiasa berdoa agar ‘episod duka’ itu tidak lagi kembali ke bumi yang digelar Serambi Mekah itu.

Menerusi temu bual penulis dengan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Mohd. Hisham Mohd. Anip, beliau memberitahu, berdasarkan ramalan pihaknya, taburan hujan di sekitar Pantai Timur terutamanya Kelantan pada paras purata.

Bagaimanapun katanya, beberapa kawasan rendah masih berisiko untuk mengalami banjir ekoran beberapa episod hujan lebat dijangka akan berlaku.

“Di Kelantan, hujan dijangka melebihi paras purata pada bulan Disember iaitu peningkatan antara 20 hingga 40 peratus.

“Keadaan cuaca ini dijangka melanda hampir keseluruhan negeri Kelantan kecuali Gua Musang. Jangkaan jumlah hujan pada bulan tersebut antara 670 hingga 800 milliliter (mm),” katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, semasa musim MTL ini, lima hingga tujuh episod hujan lebat diramalkan berlaku beberapa negeri.

“Episod hujan lebat dijangka bermula di negeri Kelantan dan Terengganu berkemungkinan berterusan pada Disember 2025 hingga Januari 2026.

“Keadaan yang sama turut berpotensi berlaku di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. Pada Februari 2026, Johor dan Sarawak masih berisiko menerima episod hujan lebat, manakala Sabah dijangka terus mengalami keadaan tersebut sehingga Mac 2026,” ujarnya.

Tambah beliau, hujan lebat yang berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk.

“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” ujarnya.

Justeru, penulis ingin mengingatkan kepada semua penduduk terutamanya mereka yang tinggal di kawasan rendah supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa dan arahan pihak berkuasa.

Jika perlu berpindah, segera berpindah jangan sayang harta benda, tetapi sayangilah nyawa sendiri. Semoga kita semua dilindungi dari bah besar pada tahun ini.

Ingat, banjir bukan pesta air, jangan terlalu seronok sehingga mengundang bahaya. Dapatkan maklumat cuaca melalui www.met.gov.my, myCuaca, serta platform media sosial rasmi MET Malaysia di Facebook, Instagram dan X.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN