HATI wanita itu berdebar-debar ketika pertama kali menyertai rakannya ke sesi tarian Latin, Rueda At The Park KL yang dianjurkan di Taman Jaya Park, Petaling Jaya, Selangor.
Suasana taman yang lazim dihidupkan dengan gerak kecergasan zumba, aerobik atau tai chi kini dipenuhi irama salsa, membangkitkan keterujaan dan rasa ingin mencuba yang belum pernah dialami sebelumnya.
Namun pemilik nama Nurul Afiqah Abd. Lajid yakin untuk hadir ke sesi percuma tersebut kerana ia bersifat mesra pemula dan sesuai untuknya walaupun tiada pengalaman atau pasangan.
“Saya tidak pernah menyertai mana-mana kelas tarian, sama ada moden atau tradisional. Oleh itu, saya rasa agak gementar pada mulanya kerana saya juga tidak tahu apa-apa mengenai rueda ataupun salsa.
“Bagaimanapun, saya tahu semua yang hadir ke sesi Rueda At The Park KL tidak memiliki pengalaman dan kelas juga tidak memerlukan peserta membawa pasangan menari.
“Struktur kelas pula bermula daripada asas sebelum teknik lanjutan, menjadikan pengalaman menari tarian Latin itu lebih mudah diikuti dan menyeronokkan,” katanya kepada CitaRasa.
Untuk pengetahuan, rueda merupakan salah satu cabang dalam tarian salsa.
Ia ditarikan secara berkumpulan dalam bentuk bulatan, dengan penari sentiasa menukar pasangan dan langkah mengikut arahan ketua bulatan atau caller.
Sementara salsa biasa pula ditarikan oleh satu pasangan sahaja dan memberi kebebasan kepada pasangan menentukan langkah sendiri.

Rueda menekankan interaksi sosial yang tinggi kerana setiap penari berpeluang menari dengan pelbagai pasangan.
Kongsi Afiqah, cabaran terbesar baginya adalah mempelajari arahan tarian dalam bahasa Sepanyol memandangkan dia langsung tidak mengetahui asas bahasa tersebut.
“Sebagai orang Malaysia, Sepanyol bukanlah bahasa ketiga, keempat atau kelima saya. Jadi nak ingat dan faham semua ‘calls’ dalam Sepanyol memang agak keliru.
“Namun, melalui latihan berulang, saya semakin mahir mengikuti lagu dan arahan dengan lebih lancar, dan rasa gementar itu perlahan-lahan digantikan dengan keseronokan,” katanya.
Berbeza dengan Afiqah, peserta dari Ecuador, Juan Diego, yang menetap di Malaysia sejak 2022 menemui Rueda At The Park KL sebaik tiba di negara ini.
Berpengalaman menari sejak kecil di negaranya, ekspatriat tersebut menekankan bahawa di Amerika Latin, orang ramai menari mengikut muzik tanpa mengikuti teknik khusus.
Namun di Malaysia, dia berpeluang mempelajari teknik asas dan lanjutan rueda daripada pihak Rueda At The Park KL, menjadikannya tarian yang lebih teratur dan teknikal.
“Saya kekal setia dengan Rueda At The Park KL kerana minat mendalam terhadap tarian itu serta suasana komuniti yang mesra dan menyeronokkan.
“Walaupun turut menyertai kelas lain seperti salsa dan bachata, saya merasakan rueda lebih menyeronokkan kerana tiada tekanan, menekankan keseronokan dan interaksi sosial.
“Sebagai ahli lama dan berpengalaman dalam rueda, saya dilantik menjadi pemanggil atau caller semasa menari.
“Ia memang cabaran utama bagi saya, tetapi pengalaman itu sangat memuaskan apabila berjaya melakukannya dengan tepat dan tarian menjadi harmoni dengan lagu,” tambahnya.
Rueda At The Park KL dikendalikan oleh pasangan warga tempatan, Andrew Sureshkumar dan Sherilyn Foo. Sesi diadakan sekali sebulan.
Idea asal ialah mengadakan sesi rueda di taman atau kawasan awam sebagai ruang komuniti untuk berlatih dan menari bersama.
Andrew mempelajari rueda ketika berada di Kanada dengan mengikuti sesi mingguan di taman dan di tepi pantai di sana.

Namun Andrew menegaskan mereka bukan pengasas Rueda At The Park KL, sebaliknya hanya meneruskan usaha yang dimulakan rakan mereka dari Belgium, Florian.
“Rueda At The Park KL dimulakan oleh Florian pada 2022, namun setahun kemudian, Florian meninggalkan Malaysia kerana mendapat pekerjaan baharu di luar negara.
“Tidak mahu usaha komuniti ini terhenti begitu sahaja, saya dan isteri mengambil alih dan telah mengembangkan usaha tersebut sehingga kini,” katanya.
Minimum peserta untuk menjadikan rueda menyeronokkan ialah empat pasangan atau lapan orang, namun bilangannya boleh meningkat sehingga 50 pasangan.
Dalam acara sosial, jumlah biasa ialah antara enam hingga 10 pasangan.
Tarian ini bukan sekadar teknik, tetapi turut melibatkan koordinasi, pergerakan, pertukaran pasangan dan keserasian dalam kumpulan.
Ujar Andrew yang juga merupakan jurulatih tarian, dari segi tahap pelajar, pemula memerlukan pengulangan dan bimbingan, manakala ahli berpengalaman memerlukan cabaran yang lebih tinggi.
“Komuniti ini kini terdiri daripada pelbagai peringkat umur antara 20 hingga 60 tahun dan pelbagai latar belakang profesional, mereka bukan penari sepenuh masa.
“Masalah biasa dalam kalangan pemula termasuk peralihan berat badan atau weight shifting serta timing dan counting mengikut rentak lapan beat dalam rueda.
“Pendekatan pengajaran pula menekankan pengulangan langkah dan pergerakan secara perlahan,” katanya.

Kongsi Sherilyn pula, ketika mereka mengambil alih, komuniti tersebut hanya mempunyai purata lima hingga enam pasangan, namun jumlahnya kini meningkat kepada lebih 20 pasangan.
Peserta Rueda At The Park KL terdiri daripada warga tempatan serta pelbagai negara antarabangsa termasuk Jepun, Peru, Ecuador, Rusia, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Ahli baharu biasanya bermula di peringkat pemula sebelum berkembang ke peringkat intermediate.
Menurutnya, media sosial seperti Instagram dan WhatsApp digunakan untuk mempromosikan komuniti.
Setakat ini, mereka memiliki perancangan masa depan meliputi usaha mengembangkan komuniti ke Pulau Pinang dan Sabah.
“Kami berharap lebih ramai orang sedar tentang rueda dan budaya tarian sosial, serta berpeluang mencuba menari sama ada sebagai permulaan atau sebagai jalan untuk meneroka tarian lain.
“Ini turut menekankan kepentingan pertukaran budaya kerana salsa berasal dari Cuba dan bukan budaya tempatan. Sebab itu penting untuk memahami konteks budaya asalnya serta mengelakkan kekeliruan antara salsa, bachata dan kizomba.
“Kami juga mahu komuniti ini berkembang secara sihat, inklusif dan menghormati budaya yang menjadi asas kepada tarian tersebut,” katanya.
















