JASIN – Seorang kanak-kanak perempuan, Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq yang kini bertarung nyawa dengan penyakit Biliary Atresia (BA) bakal menerima sebahagian hati daripada ayahnya.
Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 24, berkata, anaknya yang berusia dua tahun empat bulan itu perlu segera menjalani pembedahan pemindahan hati di China dengan anggaran kos rawatan kira-kira RM185,000.
Katanya, pada awalnya, doktor mencadangkan isterinya sebagai penderma hati, tetapi hasil biopsi menunjukkan organnya itu mempunyai masalah hati berlemak.
“Doktor menegaskan hati berlemak tidak sesuai untuk dicangkok kepada bayi kerana fungsi hati tidak optimum dan risiko komplikasi tinggi.
“Sepatutnya pembedahan dilakukan ketika Medina berusia setahun, tetapi dana tak cukup, jadi kini doktor memberi prognosis 50-50 kerana hatinya sudah mula menjadi keras,” katanya kepada Kosmo! Ahad di rumahnya di Serkam dekat sini kelmarin.
Menurutnya, kos pembedahan itu telah mencukupi dengan sebahagian besar disumbangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Ikmal Saleh iaitu sebanyak RM120,000 menggunakan wang simpanan haji, manakala RM62,000 dikutip melalui Yayasan Nanyang Press.
Selain itu katanya, Medina memerlukan kos rawatan harian yang tinggi termasuk penggunaan susu khas bernilai RM120.
“Setiap tin susu khas seberat 400 gram hanya cukup untuk bertahan sehari setengah.
“Secara purata, Medina memerlukan lebih 22 tin sebulan, tidak termasuk kos ubat-ubatan dan tiub berharga RM98 setiap satu yang perlu diganti setiap tiga minggu,” katanya.
Menurutnya, selepas Medina jatuh sakit, dia telah berhenti kerja selepas kerap mengambil cuti dan kemudian cuba berniaga, tetapi pendapatan pula tidak menentu.
“Selepas itu saya buat perkhidmatan penghantaran, tetapi hanya dapat sekitar RM50 sehari, memang tak cukup untuk beli susu Medina.
“Akhirnya, isteri minta izin untuk bekerja dengan kakaknya. Saya tiada pilihan kerana sebulan kami perlukan sekitar RM5,000. Perbelanjaan Medina juga banyak dibantu keluarga mentua saya,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Medina boleh menyalurkan sumbangan melalui nombor akaun Bank Islam 05049020332559 (Muhammad Ikmal Haziq Mazlan).














