SEBERANG PERAI – Suspek yang dipercayai membunuh dan menyimpan mayat isterinya selama empat hari di rumah mereka di Flat Jalan Tuna, Seberang Jaya di sini dikatakan mengelar leher mangsa dengan pisau pemotong kertas atau pisau ‘blade’.
Perkara itu disahkan Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Zahari Noor ketika demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai proses bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang berusia 44 tahun itu dipercayai dikelar terlebih dahulu sebelum mulut dan hidungnya dilemaskan dengan cara ditekup dengan kain atau bantal.
“Hasil bedah siasat mendapati terdapat satu kesan kelar pada bahagian depan leher dipercayai menggunakan pisau ‘blade’ iaitu pisau pemotong kertas.
“Suspek dikatakan menghiris sekali sahaja leher mangsa kerana lukanya tak terlalu dalam. Selain berlaku pendarahan pada leher, punca kematiannya mangsa juga adalah disebabkan lemas akibat ditekup menggunakan kain atau bantal,” katanya.
Jelas beliau, siasatan turut mendapati mangsa meninggal dunia sejak empat hari lalu sebelum mayatnya dijumpai semalam selepas suspek yang berusia 28 tahun tampil menyerah diri di balai polis berhampiran. -KOSMO! ONLINE














