KUALA PILAH – Seorang pencari petai cedera selepas terkena tembakan individu tidak dikenali di kawasan hutan Kampung Maasop, Senaling, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, mangsa yang berusia 47 tahun berada di lokasi tersebut seorang diri untuk mencari petai.
“Lelaki itu yang masih bujang dipercaya terkena tembakan yang dilepaskan individu yang belum dikenal pasti identitinya. Lokasi kejadian di dalam hutan kira-kira 400 meter dari jalan utama.
“Berdasarkan laporan yang diterima pihak polis pada pukul 11 pagi, adik ipar mangsa memaklumkan abang iparnya sempat menghubungi ahli keluarga untuk meminta bantuan.
“Mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan kini ditempatkan di zon kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Najihah. Keadaannya dilaporkan stabil. Mangsa terkena tembakan peluru penabur di rusuk kanan dan belakang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – KOSMO! ONLINE














