SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang membunuh dan menyimpan mayat isterinya selama empat hari di dalam rumah di Flat Jalan Tuna, Seberang Jaya di sini semalam pernah meluahkan perasaan cemburu sekiranya melihat lelaki lain bercakap dengan mangsa.
Perkara itu diluahkan suspek yang berusia 28 tahun itu kepada bapa mentuanya, Ishak Man, 76, ketika pasangan tersebut pulang ke rumah keluarga mangsa di Suka Menanti, Alor Setar bulan lalu.
Menurut Ishak yang juga pesara kerajaan, dia terdiam seketika sebaik menantunya yang berasal dari Terengganu meluahkan perasaan tersebut.
“Dia (suspek) tak boleh tengok orang bercakap dengan Wan (nama panggilan arwah), dia cemburu. Pak cik cuma minta dia bersabar. Kami jarang berjumpa dan mereka pun (suspek dan isteri) jarang pulang ke kampung.
“Saya tahu mereka bernikah dan dia (suspek) bercakap kalau kami berjumpa. Tapi, arwah memang kurang bercakap seperti adik dan arwah ibunya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya di sini, hari ini.
Ishak berkata, dia terkejut dengan kejadian yang menimpa anak kedua daripada tiga beradik itu, namun reda dengan kehilangan tersebut.
“Bila dapat tahu anak dibunuh suaminya sendiri, memang pak cik rasa sangat terkejut dan tak sangka dia (suspek) boleh buat sebegitu. Tergamak dia (menantu) bunuh anak pak cik.
“Tak tahu dia sakit atau ada masalah lain. Mungkin kejadian berlaku sebab hasutan apa-apa, ” katanya.
Ujarnya, arwah isterinya meninggal dunia akibat Covid-19 kira-kira tiga tahun lalu, manakala anak lelaki sulungnya pula maut dalam kemalangan jalan raya 19 tahun lepas. -KOSMO! ONLINE














