PETALING JAYA – Facebook, Threads dan Instagram kini bukan lagi sekadar ruang memuat naik foto atau mengikuti perkembangan semasa, tetapi telah bertukar menjadi tempat ‘mengiklankan diri’ untuk mencari jodoh.
Di platform media sosial itu, semakin ramai wanita dan lelaki yang berani tampil memperkenalkan diri dan mendedahkan ciri-ciri pasangan idaman, dengan harapan agar dipertemukan jodoh serasi.
Fenomena ini meledak sejak dua tahun lalu apabila hantaran-hantaran bertemakan ‘cari jodoh’ meraih sambutan hangat sehingga ada pasangan yang berjaya disatukan di atas pelamin melalui platform tidak rasmi itu.
Seorang pembantu tadbir, Muhammad Shahir, 32, berkata, langkah memuat naik hantaran ‘mencari calon isteri’ di Facebook bukan keputusan spontan, sebaliknya selepas beberapa tahun gagal bertemu pasangan serasi.
“Saya beritahu terus terang yang saya cari wanita penyayang, boleh berkomunikasi dengan baik dan menerima seadanya saya dan keluarga. Tidak sangka, dalam beberapa jam terus masuk hampir 30 ‘friends request’,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, kaedah itu lebih telus kerana kedua-dua pihak jelas tentang keperluan, keinginan serta batas masing-masing sejak awal perkenalan.
“Dekat empat tahun tidak bercinta, alhamdulillah sekarang sedang mengenali seseorang. Harapnya berakhir di jenjang pelamin. Seronok juga post (muat naik) ciri-ciri pasangan kita nak, jadi yang datang untuk berkenalan tak perlu nak tapis secara terperinci,” katanya.
Pentadbir akaun, Sahila, 34, pula berkongsi pengalamannya menggunakan media sosial sebagai ruang mencari jodoh sejak lima tahun lalu, meskipun mengakui perjalanan itu tidak mudah dan penuh cabaran.
Katanya, sifat dirinya yang pendiam serta kurang pergaulan mendorong dia memilih medium media sosial seperti Facebook, Tagged, Omi dan MiChat untuk memperkenalkan diri serta mencari pasangan hidup.
“Saya pernah memuat naik hantaran mencari jodoh sebanyak dua hingga tiga kali di media sosial, namun percubaan itu masih belum membuahkan hasil. Post itu dalam dua, tiga kali juga, tetapi tiada yang sangkut.
“Kebanyakan yang ingin berkenalan itu suami orang atau tak serius. Lagipun cara saya, memang lebih selesa kenal-kenal dulu sebelum jumpa secara bersemuka, tiada tekanan untuk kenal hati budi,” katanya.













