REMBAU – Seorang mualaf mendedahkan dia terpaksa menyimpan rahsia sudah memeluk Islam selama setahun daripada bapanya selepas terpesona dengan keperibadian Rasulullah SAW yang dipelajari sejak di sekolah menengah.
Nurul Adriana Umairah Robinson, 33, berkata, kisah Rasulullah yang dipelajari dalam mata pelajaran sejarah benar-benar mengetuk pintu hatinya untuk memeluk Islam.
Katanya, ketika itu dia hanya mampu menyimpan rasa kagum berkenaan akhlak dan perjalanan hidup Rasulullah memperjuangkan Islam memandangkan bapanya penganut tegar Kristian di Sarikei, Sarawak.
“Saya hanya berjaya memujuk bapa selepas dia menyedari yang saya merupakan orang kelainan upaya kerana kudung tangan kanan ekoran kanser tulang yang dialami ketika berusia sembilan tahun dan menerima sesiapa sahaja yang sudi menjadikan saya isteri.
“Selepas itu baru saya berkenalan dengan Muhd. Iskhbuckh Roili, 34, dari Rembau serta berkahwin pada 2013. Kami kini dikurniakan tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun,” katanya yang sudah bebas kanser ketika ditemui di Kampung Chembong Batu 17, di sini.
Mengimbau semula keadaan sebelum itu, rasa cinta kepada Islam membuak-buak apabila dapat menyambung pelajaran di Sabah apabila dikelilingi rakan-rakan beragama Islam dan jauh daripada keluarga.
Tambahnya, ketika itu dia sudah mendalami Islam tetapi takut untuk memberitahu bapanya sehinggalah dia berhijrah ke Seremban.
“Saya menyewa rumah di sini dengan orang Islam dan belajar untuk berpuasa dan membaca al-Fatihah sebelum minta rakan hantar ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi untuk mengucap syahadah pada 2010,” katanya yang menggunakan nama Angel sebelum Islam.
Ujar Nurul Adriana, selepas setahun, dia akhirnya berseloroh dengan bapa mengatakan sudah masuk Islam dan lelaki itu bertanya hebat sangatkah umat Nabi Muhammad sampai nak bawanya memeluk Islam.
“Saya dan suami kemudian pulang ke Sarikei untuk menjaga ayah sakit sebelum kembali semula ke sini selepas bapa meninggal dunia enam tahun lalu,” katanya.
Menurut Nurul Adriana, pada awal keIslamannya, dia mengikuti kelas anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
“Kini suami bekerja kilang dan dalam proses memohon rumah di bawah Projek Program Perumahan Rakyat Rembau,” katanya.
Menurutnya, walaupun perjalanan serta penerima keluarga di Sarawak selepas dia memeluk Islam tidak ‘indah’ serta tidak diterima dalam komuniti, dia tidak pernah patah semangat.
“Yang penting jaga solat, Allah tu akan hadirkan orang yang baik-baik. Bak kata ustaz yang mengajar saya, cantik solat, cantik wudhu kita, cantik lah kehidupan kita,” katanya.














