fbpx
YASIN menunjukkan sebahagian menu yang ditawarkan di Grand Hisar, Kuala Lumpur.

Gabungan rasa Turkiye moden dan hospitaliti premium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI pencinta masakan Turkiye yang autentik, namun disuntik dengan sentuhan moden, di Kuala Lumpur terdapat satu lokasi kulinari pilihan yang mungkin mampu memikat selera tempatan.

Terletak di lokasi strategik yang menjadi tumpuan ramai, restoran yang dikenali sebagai Grand Hisar bukan sahaja menawarkan sajian berkualiti tinggi, tetapi juga pengalaman menjamu selera yang menggabungkan warisan budaya Turkiye dengan gaya kontemporari yang elegan. 

Menurut pemilik bersama Grand Hisar, Yasin Uzundemir, sejak dibuka, Grand Hisar telah menarik perhatian pelancong, keluarga dan penggemar gastronomi yang mencari sesuatu  berbeza daripada kebiasaan.

“Keunikan dekorasi dalaman, susunan pencahayaan lembut serta aroma rempah Turkiye yang memenuhi ruang menjadikan setiap kunjungan satu pengalaman yang mengasyikkan.

“Keistimewaan utama restoran ini terletak pada pemilihan bahan segar dan teknik masakan asli yang mengekalkan rasa tradisional Turkiye,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Grand Hisar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, antara hidangan paling popular termasuklah adana kebab, lamb shish, iskender kebab serta pide yang dibakar menggunakan ketuhar khas. 

Setiap hidangan disediakan dengan teliti oleh cef berpengalaman yang pernah berkhidmat di restoran bertaraf antarabangsa di Istanbul. 

PIZA Turkiye atau lahmajun mempunyai cita rasa unik untuk mereka yang mahukan ‘vibe’ moden dan asli. – Muhamad Iqbal Rosli

Hasilnya, pelanggan dapat menikmati kelazatan daging yang diperap sempurna, roti lembut yang masih panas serta sos yogurt dan tomato yang cukup seimbang. 

Selain itu, pengunjung boleh mencuba menu piza Turkiye yang juga dikenali sebagai lahmajun dan juga Turkish dumpling yang mempunyai keunikan cita rasa tersendiri autentik dari negara asalnya.

Bagi yang menggemari kelainan, menu pencuci mulut seperti kunefe dan baklava bukan sahaja memberi kepuasan, tetapi turut membangkitkan nostalgia rasa Mediterranean yang kaya dengan mentega, madu dan kacang pistasio.

Turut tidak ketinggalan, manisan orange flavoured rice pudding yang penuh krim dan diimbangi dengan rasa sitrus daripada oren.

Sementara itu, bagi minuman pula, pengunjung boleh mencuba teh dan kopi Turkiye yang dibawa khas dari negara tersebut dan dihidang panas untuk diminum.

Kongsinya lagi, selain keunggulan dari segi masakan, Grand Hisar juga menitikberatkan konsep hospitaliti Turkiye yang terkenal dengan layanan mesra dan penuh hormat. 

“Para tetamu disambut dengan senyuman, sementara suasana restoran yang tenang dan teratur menjadikan ia sesuai untuk pelbagai acara daripada makan malam romantis, perhimpunan keluarga hinggalah majlis korporat. 

SUASANA dalam restoran Grand Hisar yang bercita rasa premium dengan dekorasi menarik.

“Ruang makan yang luas dan kemas turut dilengkapi elemen dekoratif seperti jubin biru Turkiye, ukiran kayu, dan lampu mozek yang memancarkan cahaya hangat, mencipta persekitaran eksklusif tanpa menghilangkan identiti asalnya,” ujarnya.

Bagi pelanggan yang mengutamakan pengalaman menyeluruh, restoran ini turut menawarkan ruang VIP serta perkhidmatan katering untuk acara persendirian. 

Setiap tempahan boleh disesuaikan mengikut tema dan kehendak pelanggan, termasuk menu khas seperti meze platter, Turkish grill feast atau set makan tengah hari korporat. 

Komitmen Grand Hisar untuk menggabungkan cita rasa Turkiye dengan kehendak pelanggan tempatan membuatkan ia sentiasa relevan, sambil mengekalkan reputasinya sebagai restoran premium yang tidak berkompromi dari segi kualiti.

“Restoran Grand Hisar bukan sekadar tempat untuk menikmati hidangan sedap, tetapi sebuah destinasi yang menghidupkan budaya, rasa dan hospitaliti Turkiye dalam bentuk yang moden. 

“Dengan menu yang kaya, layanan profesional, serta suasana yang menawan, ia menjadi pilihan tepat bagi mereka yang ingin meneroka dunia kulinari Mediterranean tanpa meninggalkan Malaysia,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN