ISU gelandangan menjadi cabaran global termasuk di Malaysia, sedangkan penyelesaian sebenar memerlukan pemahaman mendalam dan komprehensif terhadap keperluan individu.
Pendekatan holistik diperlukan bagi memastikan setiap bantuan diagihkan secara tersusun selain bekerjasama antara pihak berkaitan bagi mengelakkan pembaziran seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
Ada pihak menyarankan agar koordinasi diwujudkan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta, mahupun orang ramai yang ingin menyumbang.
Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Marlia Zakaria bersama Pakar Sosiologi, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran bagi mengupas isu ini dengan lebih mendalam.
KOSMO! AHAD: Apakah isu utama yang sering berlaku dalam pemberian bantuan makanan kepada golongan gelandangan di Malaysia?
Mohammad Shatar: Isu bantuan makanan kepada gelandangan yang sering diketengahkan adalah pembaziran dan ketidaktepatan bantuan. Banyak bantuan diberikan tanpa mengikut kajian keperluan sebenar walaupun niat NGO, masyarakat dan kerajaan adalah murni.
Keadaan ini menimbulkan kekecewaan kerana bantuan tidak sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan dengan tepat menyebabkan rasa terabai atau tidak dihargai oleh penerima.
Sudah tiba masanya semua pihak berkerjasama mencari solusi terbaik bagi mengatasi isu ini.
Bagaimana pendekatan pembangunan komuniti boleh membantu?
Dalam pendekatan pembangunan komuniti, apabila kita ingin membantu sesebuah masyarakat atau sesuatu kumpulan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memahami keperluan sebenar mereka.
Kita tidak boleh sekadar bersimpati dan beranggapan bahawa mereka sudah cukup dengan makanan yang kita sediakan.
Apa yang perlu kita lakukan adalah bertanya, ‘apakah yang anda perlukan?’ Dengan cara ini, bantuan dapat disalurkan dengan tepat dan pembaziran dapat dielakkan.
Oleh itu, kita perlu mengenal pasti siapa audiens kita iaitu bertanya terus kepada gelandangan itu sendiri.
Apakah cara efektif untuk kenal pasti audiens yang dimaksudkan?
Seringkali bantuan yang diberikan tidak selari dengan keperluan sebenar kerana kita tidak menilai terlebih dahulu apa yang diperlukan.
Dengan menjalankan tinjauan atau soal selidik secara terus kepada golongan gelandangan, koordinasi bantuan mudah untuk dilaksanakan.
Dengan itu kita boleh mengenal pasti keperluan sebenar mereka, sama ada makanan, pakaian, barangan lain atau peluang pekerjaan.
Adakah koordinasi antara NGO perlu dilakukan supaya bantuan lebih efektif?
Setiap NGO tidak boleh bertindak sendirian dan bekerja secara solo tanpa koordinasi kerana ia sering menyebabkan pembaziran terutama menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Contohnya, di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur. Katakan terdapat 10 NGO yang ingin membantu golongan gelandangan, tetapi tanpa perancangan bersama, mereka semua membawa makanan kepada seorang individu yang sama.
Untuk memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang memerlukan secara adil dan berkesan, koordinasi antara NGO amat penting.
Dengan adanya kerjasama yang tersusun, setiap NGO dapat mengenal pasti keperluan sebenar, mengelakkan pertindihan bantuan, dan memastikan sumber dapat digunakan secara optimum.

Bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memainkan peranan dalam memastikan tiada pembaziran bantuan terhadap gelandangan?
PBT sebenarnya boleh menjadi peneraju dalam menguruskan aliran bantuan, dengan syarat semua pihak yang ingin membantu berikan kerjasama.
Perlunya ada garis panduan yang dikeluarkan oleh PBT dan satu pusat rujukan yang menyelaras semua NGO serta sukarelawan.
Semua pihak berkepentingan disaran mendaftar melalui PBT terlebih dahulu sebelum menyalurkan bantuan.
Dengan cara ini, kita boleh elakkan situasi ramai pihak bergerak secara berasingan dan membantu individu yang sama berulang kali.
Mengapa masyarakat sering mengutamakan gelandangan sebagai kumpulan untuk dibantu, sedangkan masih ada yang memerlukan?
Gelandangan adalah golongan ‘popular’ dan antara yang menjadi pilihan utama kepada pihak yang ingin menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Namun, sumber yang sama boleh dimanfaatkan untuk membantu kumpulan lain yang memerlukan, contohnya pelajar universiti, keluarga miskin atau golongan kurang bernasib baik yang tidak tergolong dalam kategori gelandangan.
Yang penting, keperluan sebenar setiap kumpulan perlu dikenal pasti terlebih dahulu, bukan sekadar memenuhi syarat formal atau tanggungjawab CSR.
Dengan pendekatan ini, bantuan dapat memberi impak lebih luas dan efektif, memastikan setiap sumber digunakan sebaiknya.
Banyak pihak menggesa agar bantuan makanan untuk gelandangan dinilai semula dan keutamaan turut diberi kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Apa pandangan Datuk?
Sekiranya bantuan makanan dapat dihantar ke tempat yang bermanfaat, kita boleh melihat kumpulan-kumpulan sasaran lain, contohnya penuntut IPT.
Tanpa mengira latar belakang pelajar, kalau makanan dihantar ke universiti, pastinya ia akan memberi kepuasan.
‘Food bank’ percuma, dengan jumlah pelajar sekitar 8,000 hingga 20,000 orang, pastinya ‘laris’ sambutan yang akan diberikan.
Buktinya, makanan yang disediakan pihak IPT sentiasa mendapat sambutan yang luar biasa kerana permintaan sangat tinggi dalam kalangan pelajar, tetapi fokusnya, isu pembaziran tidak berlaku kerana sistem teratur dan tepat sasaran.
Walaupun universiti menyediakan saluran rasmi untuk pelajar memohon bantuan, kaedah ‘food bank’ sentiasa mendapat sambutan terutama bagi golongan yang sering berasa segan atau malu untuk meminta bantuan secara rasmi. -KOSMO! ONLINE














