Pada 28 November lalu, negara dikejutkan dengan isu penahanan 201 individu termasuk 17 penjawat awam yang disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral di sebuah premis, berselindung di sebalik pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Boleh dikatakan, ini adalah tangkapan besar-besaran yang pernah dilakukan.
Operasi bermula pukul 8 malam itu dijalankan pasukan KL Strike Force bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hasil risikan selama dua minggu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Azani Omar dilaporkan berkata, hasil serbuan, 201 individu ditahan termasuk tujuh pekerja premis, 24 warga asing dan bakinya rakyat tempatan berusia antara 19 hingga 60 tahun.
Penahanan ini menunjukkan gejala yang bertentangan dengan ajaran agama Islam kian membiak di negara ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus pula berkata, mereka telah dibebaskan kerana permohonan reman ke atas semua warga tempatan itu telah ditolak majistret dengan alasan ia lewat dikemukakan.
Hanya 31 warga asing ditahan direman selama dua hari kerana tiada dokumen pengenalan diri.
Tindakan melepaskan suspek hanya dengan ‘nasihat’ selepas operasi besar-besaran dilakukan, menyebabkan undang-undang di negara ini dilihat seolah-olah hilang ‘taring’ dan lemah dalam menghukum pesalah moral.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, alasan bahawa terdapat kekangan undang-undang atau kesukaran pembuktian tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kes tanpa pendakwaan.
Menurutnya, pihak berkuasa sepatutnya memanfaatkan peruntukan undang-undang sedia ada untuk memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara dan gejala mungkar dapat dibendung dengan serius.
“PPMM memandang serius laporan media berkenaan serbuan di sebuah premis di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan aktiviti hubungan sejenis, tetapi malangnya dilaporkan tiada pendakwaan jenayah dibuat ke atas individu yang terlibat.
“Alasan bahawa terdapat ‘kekangan undang-undang’ atau kesukaran pembuktian adalah sesuatu yang perlu diperbetulkan segera demi memelihara kedaulatan undang-undang di negara ini.
“Pihak berkuasa tidak boleh hanya sekadar melepaskan suspek dengan ‘nasihat’ kerana tindakan itu menghantar isyarat lemah,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhamad Hisham berkata, pendakwaan sebenarnya masih boleh diteruskan menggunakan peruntukan lain yang relevan jika tuduhan utama sukar dibuktikan.
Beliau menyarankan penggunaan Seksyen 29 yang melibatkan Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam, Seksyen 35 (Menganjurkan atau Memujuk Melakukan Maksiat) serta Seksyen 43 (Penyubahatan).
Tegasnya, penggunaan seksyen-seksyen itu adalah penting bagi memastikan undang-undang syariah dilihat berfungsi dan berwibawa, bukannya sekadar tulisan atas kertas tanpa kuasa penguatkuasaan berkesan.
















