Bangkai ayam kampung ternakannya yang mati dalam kejadian di Kampung Lot 23, Pasir Puteh semalam. TOREK SULONG

Siang menyorok dalam semak, tengah malam mengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Seorang penternak ayam kampung di sini mendakwa, seba­nyak 20 ekor haiwan ternakan­nya mati dalam keadaan berlumuran darah dibaham sekumpulan anjing liar.

Kesemua ayam kampung milik Fatinah Long, 65, itu ditemui mati di dalam reban kira-kira pukul 12 tengah malam kelmarin selepas wanita itu terdengar bunyi bising dari kawasan yang terletak berhampiran rumahnya.

Katanya, sekumpulan anjing liar itu dipercayai melompat pagar rumahnya sebelum masuk ke dalam reban yang menempatkan ayam kampung itu.

“Anjing-anjing itu berkumpul di dalam semak pada waktu siang. Haiwan itu mula mengganas menjelang tengah malam apabila keluar dan memasuki kawasan rumah penduduk.

“Pada malam kejadian, saya terdengar bunyi ayam berkokok dan terus ke reban sebelum mendapati anjing-anjing itu berlari keluar.

“Saya melihat semua ayam dalam keadaan berlumuran darah de­ngan sebahagian organ dalaman hilang dimakan anjing,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Lot, 23, di sini semalam.

Fatinah memberitahu, keja­dian itu menyebabkan dia me­ngalami kerugian RM300 dengan setiap ekor ayam boleh dijual pada harga RM15.

Menurutnya, kerugian itu tidak merangkumi kos-kos lain untuk menternak ayam kampung termasuk dedak dan makanan lain untuk ternakan haiwan tersebut.

Seorang lagi penduduk, Mustafa Muhamad, 58, berkata, dia berdepan kerugian besar apabila semua arnab peliharaannya mati dalam satu malam.

“Harga seekor arnab bukannya murah. Saya sudah pelihara haiwan itu dalam sangkar khas, tetapi masih mampu dipecahkan oleh anjing liar ini.

“Saya terkejut melihat banyak arnab mati dengan organ dalaman hilang,” katanya.

Rakannya, Ahmad Tarmizi, 34, berkata, ayam baka ‘baik’ yang dibelinya berharga ratusan ringgit seekor turut menjadi korban serangan haiwan liar itu.

“Ini tidak termasuk 50 ayam kampung yang saya bela habis dimakan anjing.

“Kami berharap agar Majlis Daerah Pasir Puteh dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera sebelum lebih banyak ternakan penduduk menjadi ­mangsa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN