PASIR PUTEH – Penduduk di pesisir Pantai Bisikan Bayu di sini hidup dalam ketakutan susulan fenomena ombak besar, air pasang dan angin kencang yang melanda kawasan tersebut sejak lebih seminggu lalu.
Keadaan yang berlaku pada peringkat awal musim tengkujuh itu menyebabkan berlakunya hakisan di kawasan kediaman penduduk serta premis berhampiran pantai tersebut.
Seorang penduduk di Pantai Bisikan Bayu, Muhammad Luqman Mohd. Noor, 31, berkata, ombak besar yang membadai dinding kediamannya ketika air pasang besar membuatkan mereka takut untuk tidur di rumah pada waktu malam.
Menurutnya, buat masa ini, dia dan keluarga menumpang di rumah ibu bapanya yang terletak jauh dari kawasan pantai.
“Ombak besar itu menyebabkan air laut masuk ke dalam rumah pada waktu malam. Meskipun sering berdepan situasi itu semasa musim tengkujuh, saya tetap bimbang sekiranya rumah runtuh.
“Air pasang dan ombak besar itu mula berlaku sejak seminggu lalu ketika beberapa daerah di Kelantan dilanda banjir. Tidak dinafikan, angin sangat kencang melanda kawasan tepi Pantai Bisikan Bayu ketika ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pantai Bisikan Bayu Semerak di sini semalam
Sementara itu, pengusaha kilang keropok, Asmalaili Kedah, 44, berkata, rumah pekerja yang dibina berdekatan bangunan kilangnya roboh dengan sisa binaan hanyut ke tengah laut pada musim tengkujuh tahun lalu.
“Air pasang besar sering berlaku pada waktu malam. Kami yang tinggal di pesisir pantai tidak lena tidur kerana bimbang rumah runtuh akibat dibadai ombak.
“Kilang keropok saya turut terkena tempias ombak besar sehingga perlu diletakkan cerucuk simen untuk dijadikan benteng, sekali gus menghadang ombak dan hakisan,” ujarnya.
Katanya, usahanya meletakkan beratus-ratus karung pasir untuk menghadang ombak musim tengkujuh tahun lalu, tidak berjaya menghalang hakisan dengan tahun ini saya memasang cerucuk di kawasan kilang.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Pasir Puteh, Mohd. Kamarulzaman Ab. Wahab berkata, orang ramai disarankan tidak berkunjung dan melakukan aktiviti termasuk memancing di Pantai Bisikan Bayu Semerak sepanjang musim tengkujuh.
Katanya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sudah menaikkan bendera merah sebagai tanda amaran agar tiada sebarang aktiviti rekreasi pantai.















