fbpx
Ikan tenggiri yang didaratkan dengan teknik menghanyut umpan hidup kebanyakannya bersaiz besar.

Menjebak tenggiri di Penyabong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TENGGIRI batang atau nama saintifiknya, Scomberomorus commerson diketahui biasanya dipancing menggunakan teknik
seperti tundaan gewang, casting umpan kembung atau melayang umpan ikan hidup.

Namun kini, ramai pemancing lebih gemar memburunya dengan kaedah lebih agresif iaitu teknik fast jigging.

Teknik ini menjadi kegilaan ramai pemancing kerana ke­­asyikan merasa sergapan tatkala joran dipegang ketika melakukan karauan pantas. Adrenalin pasti memecut, dan di sinilah kenikma-
tan yang sering dicari oleh jigger kental.

Tapak unjam
Perairan Penyabong di Johor mempunyai banyak kawasan berstruktur tinggi dan tapak unjam lama.

Lokasi-lokasi ini juga sering dibaik pulih oleh nelayan pukat cerut untuk menjerat ikan-ikan yang tertarik dengan dedaunan bergantungan sebagai tempat ikan kecil mencari makan dan berlindung.

Menjebak tenggiri perlu dilakukan dengan pantas, bukan sahaja jig dikarau dengan laju.

Malah, tekong juga perlu pantas mengulang kawasan sasaran dan memutuskan dengan cepat untuk berpindah lokasi jika tiada ikan di kawasan tersebut.

Berbelas kawasan tapak unjam harus dicuba untuk meningkatkan peluang berjumpa dengan spesies ini kerana tenggiri sering bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain.

Bernasib baik
Trip kami amat bernasib baik kerana menemui segerombolan tenggiri yang langsung tidak berganjak dari kawasan tersebut berkemungkinan disebabkan adanya ikan-ikan kecil di sekitar.

Kehadiran ikan ini dikesan setelah beberapa kali jig ‘dicukai’. Potongan pada perambut yang rata dan tidak berburas menandakan ia angkara si tenggiri.

Memandangkan bot berhanyut dengan laju, saya memutuskan untuk melabuhkan sauh dan boleh memberi tumpuan lebih lama di kawasan tapak unjam tersebut. Sejurus kemudian, jig yang dikarau laju oleh Amirul disergap dan ikan tenggiri tersebut berjaya didaratkan.

Semangat semua peman­cing semakin membara kerana telah melihat ‘harapan’ di hadapan mata.

Melayang umpan hidup
Sedang masing-masing sibuk membuat lontaran jauh dan me­­ngarau jig, saya mengambil peluang untuk melayang umpan hidup di belakang bot.

Ini memandangkan ada beberapa ekor ikan kembung yang ditangkap hidup semasa berhanyut sebelumnya.

Set jigging ringan yang biasa saya gunakan dengan mainline 20lb sepanjang hampir 250 meter dan shock leader fluorocarbon 20lb sepanjang 10 meter.

Kunci utama set-up asas bagi melayang umpan hidup ini adalah tali simpanan mestilah panjang kerana pecutan pertama ikan, kita tak boleh jangka sejauh mana ia akan berhenti.

Hasil tangkapan setelah seharian fokus mencari spesies ini, dan misi berakhir dengan jayanya.

Begitulah sifat tenggiri yang berada di kawasan air tidak dalam.

Perambut dawai 25lb sepanjang lebih kurang sejengkal menjadi ‘insurans’ jika menghadapi ikan yang bergigi bagai pisau ini.

Mata kail yang digunakan juga bersaiz kecil bergantung pada saiz umpan.

Tujuannya supaya umpan dapat hidup lebih lama berikutan kurang­nya kadar kecederaan, selain membuatkan set perambut bersifat halimunan di dalam air.

Konsep ‘taichi’
Tidak perlu membuat sentapan balas yang kuat apabila pemangsa mula meragut umpan, hanya membiarkan ikan tenggiri memecut laju, sebelum mengunci sedikit demi sedikit drag pada kadar bersesuaian.

Setelah pecutan pertamanya mulai lemah, barulah membuat sentapan balas. Lantas perlawanan perlu dilakukan secara berhati-hati dan tidak tergopoh-gapah.

Konsep ‘taichi’ digunakan iaitu menggunakan kelembutan untuk melawan sesuatu yang kuat.

Ikan yang memecut dibiarkan berlalu pergi dan akan berhenti setelah berasa tekanan daripada set pancing ‘halus’ kerana pertambahan bebanan secara perlahan-lahan.

Tindakan ini membuatkan ikan tenggiri tersebut tidak kuat meronta dan kurang memberi tekanan lebih lantaran set ‘halus’ bagai tidak dirasai pada mulanya.

Fast jigging
Di samping bergasak dengan hentaman ikan tenggiri yang ramah menjamah umpan, saya juga bermain fast jigging dengan menggunakan jig profil panjang berwarna perak seberat 60 gram.

Jig dilontar sejauh yang boleh dari bot, dan dibiarkan tenggelam hingga ke dasar.

Selepas itu, perlu dilakukan unjunan perlahan bagi menggoda pemangsa dasar jika ada, sebelum dikarau dengan laju.

Dengan menggunakan kekili yang mempunyai nisbah putaran gear tinggi, kerja mengarau menjadi lebih santai dan kurang memenatkan.

Semua pemancing dapat merasa jig yang diunjun laju disergap oleh ikan tenggiri hingga membuatkan masing-masing lebih ‘teracun’ dengan teknik fast jigging.

Walaupun nampak melelahkan, namun jika set pancing yang digunakan seimbang, pasti dapat meminimumkan penggunaan tenaga dan memaksimumkan daya kerja kerana setiap lontaran serta unjunan amat berharga.

Kesimpulan
Memancing ikan tenggiri memerlukan kerjasama sepasukan.

Jika sasaran utama trip adalah spesies ikan ini, maka semua pemancing perlu bersedia dengan teknik yang sama kerana pergerakan perlu sentiasa pantas.

Tidak sesuai jika memburu ikan tenggiri tetapi ada pula geng yang mengaplikasikan teknik pancingan dasar kerana ini akan mengganggu rentak ahli trip lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN