“PADA awalnya, saya agak gementar kerana akan berseorangan di Belanda selama seminggu.
“Namun ketakutan itu perlu diatasi kerana saya yakin program ini akan memberi impak positif kepada pembangunan diri dan buat Malaysia pada masa hadapan.”
Itulah kata-kata penuh semangat ditutur oleh Muhammad Zulfakhri Zulkifli, 23, yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dia merupakan satu-satunya pelajar yang terpilih mewakili negara dalam pertandingan Eindhoven Semicon Summer School (ESSS) 2025 (Edisi Ketiga) di Belanda baru-baru ini.
Lebih membanggakan, anak bongsu daripada lapan beradik itu bersama kumpulannya dinobatkan sebagai johan pertandingan ESSS 2025.
Mereka menundukkan beberapa kumpulan lain yang terdiri 80 pelajar antarabangsa daripada lebih 20 universiti terkemuka.
“Saya sangat bersyukur dan bangga kerana kejayaan ini bukan sahaja untuk diri saya dan pasukan, malah membawa nama UPM serta Malaysia di pentas antarabangsa.
“Pertandingan ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada program ESSS kepada pelajar terpilih bagi mendalami ilmu teknologi semikonduktor dan sistemnya,” katanya
Berkongsi mengenai semikonduktor, anak jati Kuala Kubu Bharu, Selangor memberitahu, teknologi semikonduktor merupakan satu teknologi berasaskan bahan seperti silikon yang digunakan untuk membuat cip dan komponen elektronik dalam telefon pintar, komputer serta hampir semua peranti moden.
Menerusi pertandingan tersebut, para peserta dibahagikan kepada 12 kumpulan bagi menyiapkan projek bertemakan sistem fotonik dalam tempoh lima hari sebelum membuat pembentangan.
Fotonik merupakan sistem yang menggunakan cahaya (photon) dalam kaedah penghantaran data berbanding elektron bagi sistem elektronik biasa.
“Penyertaan saya ini adalah hasil jemputan rasmi Kedutaan Belanda kepada UPM dengan sokongan pensyarah, Sekretariat National Semiconductor Strategy (NSS), TalentCorp dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” ujarnya.
Mengulas mengenai kriteria utama untuk terpilih menyertai pertandingan berprestij tersebut, Muhammad Zulfakhri memberitahu, faktor kelayakan akademik serta pencapaian projek tahun akhirnya dengan syarikat NXP Malaysia (tempat latihan praktikal dan majikan kini) menjadi penentu.
Sementara itu, mengulas mengenai cabaran, jejaka tinggi lampai berkulit sawo matang tersebut mengakui halangan utama adalah untuk memahami bidang fotonik yang agak baharu bagi dirinya.
“Ia bidang yang agak mencabar. Fotonik jauh berbeza daripada elektronik biasa.
“Banyak konsep baharu yang saya perlu faham seperti gelombang optik, modulasi cahaya dan integrasi photonic integrated circuit (PIC) ke dalam litar bersepadu konvensional.
“Namun pendedahan dalam bidang mikroelektronik di UPM membantu saya memahami dan mendalami konsep baharu ini dalam masa singkat,” katanya.
Tambahnya, cabaran lain yang dihadapi adalah dari segi masa kerana jadual peserta sangat padat.

“Jadual kami padat dengan kuliah dan perkongsian bersama pakar industri, manakala masa untuk berbincang hanya sekitar dua jam sehari.
“Disebabkan topik ini agak asing, kami perlu meluangkan masa membaca jurnal dan artikel bagi memahami konsep sebelum mengolah idea.
“Pun begitu, saya tidak pernah rasa tertekan kerana pasukan saya sangat bersemangat.
“Selain itu, pengalaman menyertai dan memenangi pertandingan antarabangsa di Indonesia serta Singapura sebelum ini sedikit sebanyak memberi keyakinan untuk bersaing dengan pelajar daripada universiti ternama dunia,” tuturnya.
Katanya, bimbingan daripada supervisor (penyelia), semangat berpasukan dan usaha mendalami kajian membuatkan kumpulannya berjaya menghasilkan projek yang baik sehingga bergelar juara.
Sementara itu, menurut Muhammad Zulfakhri, sumber kekuatan utamanya adalah ibu.
Ini kerana, selepas pemergian bapanya ketika di universiti pada tahun pertama, ibu menjadi insan yang paling diutamakan.
Selain cemerlang dalam akademik dan berjaya mengharumkan nama UPM serta negara, jejaka yang gemar memasak serta berenang itu sangat aktif berdebat sejak di bangku sekolah.
“Ilmu debat yang dipelajari sejak sekolah merupakan salah satu kunci kejayaan hingga membantu saya melangkah lebih jauh, terutamanya dalam membina keyakinan bercakap di hadapan khalayak ramai.
“Selain itu, saya aktif dalam program di peringkat antarabangsa.
“Saya pernah dihantar ke Jepun selama dua minggu untuk mempelajari teknologi robotik, selain mewakili UPM ke Singapura dan Indonesia bagi menghadiri bengkel teknikal pelajar.
“Di kampus, saya juga pernah berkhidmat sebagai Majlis Perwakilan Kolej (MPK) bagi Kolej Sepuluh di bawah sekretariat keusahawanan.
“Saya yakin semua pengalaman ini bukan sahaja memperkukuhkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi, malah membentuk cara saya berfikir,” katanya.
Nasib Muhammad Zulfakhri juga sangat bertuah kerana diberi peluang berkhidmat sebagai jurutera sewaktu menjalani latihan industri di sebuah syarikat tempatan sebelum ini.
Meskipun belum tamat pengajian sepenuhnya dan bakal menyarung jubah konvokesyen pada 4 Disember nanti, namun dia bersyukur apabila ditawarkan berkhidmat sebagai NPI Semiconductor Engineer (Jurutera semiconductor (NPI).
“Lebih istimewa, saya pernah menjalani latihan industri di syarikat yang sama pada tahun ketiga pengajian.
“Pengalaman tersebut benar-benar mengukuhkan minat saya dalam industri semikonduktor.
“Sebagai jurutera NPI, tugas saya adalah memastikan setiap cip atau produk baharu melalui proses penilaian dan pengesahan yang lengkap sebelum dibenarkan memasuki fasa mass production serta sampai kepada pelanggan.
“Skop ini merangkumi analisis data, ujian kejuruteraan, verifikasi spesifikasi serta memastikan setiap proses berada dalam keadaan stabil dan selamat untuk pengeluaran berskala besar,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, dia mengakui, Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah nadi kepada pembangunan industri.
Ujarnya, usaha itu selari dengan harapan Malaysia dalam membangunkan ekosistem semikonduktor, automasi, tenaga dan infrastruktur digital yang memerlukan tenaga kerja mahir.
“Saya percaya TVET perlu diperkasakan kerana ia melahirkan tenaga kerja yang praktikal, kompeten dan sangat diperlukan oleh industri.
“Sebagai mahasiswa dan bakal graduan kejuruteraan, saya berharap lebih ramai pelajar berani meneroka bidang TVET terutamanya dalam bidang mikroelektronik dan semikonduktor.
“Seiring kemajuan teknologi, bidang ini akan menawarkan peluang yang sangat cerah. Kepada calon atau bakal mahasiswa, jangan takut gagal kerana pengalaman belajar yang sebenar datang daripada mencuba.
“Lengkapkan diri dengan kemahiran insaniah, teknikal, kepimpinan dan kreativiti. Pelajari sesuatu untuk memahami, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan,” ujarnya sebelum menutup bicara.














