PASIR PUTEH – Seorang petani mampu meraih pendapatan kasar mencecah RM1,000 sehari sejak beberapa hari lalu hasil menjual dua tan ubi kayu di jalan utama Pasir Puteh-Tok Bali dekat Kampung Haji Wan Omar di sini semalam.
Mohd. Nawi Jusoh, 51, mengambil peluang menjual ubi kayu itu selepas bahan mentah tersebut mendapat permintaan tinggi oleh orang ramai dan dan peniaga sejak cuaca hujan melanda Kelantan beberapa hari lalu.
Menurutnya, ubi kayu itu dibeli secara borong daripada petani di Kampung Tok Sabuh, Semerak dijual pada harga RM3 sekilogram.
“Saya dapat menjual hampir dua tan ubi kayu sepanjang beberapa hari cuaca hujan yang melanda daerah ini.
“Sesetengah tempat menjual ubi kayu pada harga RM4 sekilogram. Saya pula jual pada kadar yang lebih murah agar semua orang dapat membeli dan menikmatinya pada musim hujan,” ketika ditemui di jalan utama Pasir Puteh-Tok Bali, di sini semalam.
Menurut Mohd. Nawi, ubi kayu rebus sedap dinikmati bersama kelapa parut.
Tambahnya, jualan ubi kayu laris dijual semasa hujung tahun dan musim tengkujuh bertepatan dengan musim tuaian bahan mentah itu.
“Selain ubi kayu, saya juga jual keledek, kemili, ubi itik dan ubi badak yang sentiasa mempunyai penggemarnya,” katanya.














