Dalam kesibukan melatih atlet-atlet berpotensi, Roslinda, pemegang rekod lompat bergalah wanita kebangsaan yang belum dipecahkan sesiapa adalah seorang yang amat mementingkan pendidikan apabila menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.

Roslinda Samsu sambung PhD, masih cari pemecah rekodnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA era 2000-an, nama Roslinda Samsu bukanlah sesuatu yang asing. Malah, namanya sering menghiasi dada-dada akhbar pada ketika itu atas pencapaian hebatnya sebagai atlet negara dalam sukan lompat bergalah.

Roslinda merupakan pemenang pingat emas sebanyak empat kali bagi temasya Sukan SEA.

Selain itu, dia juga meraih pingat perak bagi temasya Sukan Asia yang berlangsung di Doha, Qatar pada tahun 2006.

Kini, meskipun telah bersara sebagai atlet dalam sukan tersebut, wanita yang berusia 43 tahun itu aktif dalam mencungkil bakat-bakat baharu untuk acara itu.

Bertanyakan khabarnya, dia kini sedang berusaha mencari ‘permata’ baharu yang boleh mengharumkan nama negara untuk acara lompat bergalah.

Roslinda berkata, setelah bersara pada tahun 2012 dia memilih karier sebagai guru dan bertugas di Sekolah Sukan Malaysia Pahang di Gambang, Pahang selama 11 tahun.

“Saya gembira membina kerjaya sebagai guru setelah bersara sebagai seorang atlet kerana berpeluang untuk berkongsi ilmu dan melatih bakat-bakat baharu yang berpotensi.

“Tugas saya adalah mencari bakat-bakat baharu dari seluruh Malaysia yang berpotensi dan menempatkan mereka di sekolah sukan,” katanya yang berasal dari Padang Terap, Kedah.

Pada 2023, dia kemudian berpindah ke Kuala Lumpur dan bertugas di Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai jurulatih lompat bergalah sepenuh masa.

Roslinda boleh dikatakan ‘legenda’ untuk sukan lompat bergalah.

Sehingga kini, masih belum ada pengganti yang mampu memecahkan rekod kebangsaan yang diciptanya dengan melakukan catatan lompatan 4.40 meter (m) yang dilakukan di Sepanyol pada 2007.

Untuk itu, dia berusaha untuk melatih bakat-bakat baharu yang boleh memecahkan rekod yang diciptanya.

Namun begitu, untuk mencari atlet yang berpotensi bagi acara sukan lompat bergalah bukanlah sesuatu yang mudah.

Ini kerana sukan itu kurang dipertandingkan di peringkat akar umbi.

Roslinda boleh disifatkan sebagai legenda atau ratu sukan lompat bergalah negara bahkan sehingga kini rekodnya pada catatan 4.40 meter masih belum dipecahkan mana-mana atlet wanita negara.- Foto Muhamad Iqbal Rosli

Roslinda berkata, cabaran utama adalah acara lompat bergalah tidak dipertandingkan di peringkat sekolah rendah dan juga menengah.

“Jadi, pendedahan pelajar sangat kurang dan sukar untuk kita mengesan bakat awal.

“Oleh itu, untuk mencari, saya akan lihat atlet dalam acara lain seperti lompat jauh, lompat tinggi atau acara pecut.

“Saya akan mengajak mereka yang berpotensi untuk mencuba dalam acara lompat bergalah,” terang Roslinda.

Tambahnya, untuk seseorang atlet yang ingin terlibat dalam acara lompat bergalah perlu mempunyai fizikal yang tinggi dan juga keberanian.

Menurutnya, bagi melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu yang berpotensi, pembangunan untuk sukan lompat bergalah perlu ditekankan.

“Di peringkat pembangunan, setiap negeri sepatutnya ada kemudahan untuk acara lompat bergalah.

“Sekarang masih sangat kurang, selain kemudahan yang paling kritikal ialah jurulatih.

“Dalam Malaysia, kita hanya ada lima jurulatih lompat bergalah” jelas Roslinda.

Dalam pada itu, Roslinda menerangkan, selepas dia bersara, negara mempunyai bakat baharu iaitu Nor Sarah Adi yang dilatih olehnya sendiri.

“Nor Sarah pernah memenangi satu pingat emas dan satu perak di Sukan SEA, cuma rekodnya belum memecahkan rekod kebangsaan, jadi ramai orang tak nampak sangat. Dia masih berlatih, cuma prestasi agak perlahan kerana kecederaan dan pembedahan, tetapi dia sangat berpotensi,” katanya.

Menyorot sejarah penglibatannya dalam lompat bergalah, Roslinda menjelaskan, ketika zaman persekolahan dia merupakan seorang murid yang gemar bersukan.

Dia terlibat dengan pelbagai jenis sukan pada ketika itu termasuklah olahraga, bola jaring, bola tampar dan hoki. Untuk olahraga dia terlibat dengan acara larian 100 meter, lompat jauh dan lompat tinggi.

“Ketika saya sertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) ada jurulatih iaitu Manshahar Abdul Jalil yang juga merupakan ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan pada ketika ini yang melihat bakat saya dan membawa saya untuk mencuba sukan lompat bergalah.

“Sebelum itu, saya tidak pernah menyertai acara ini dan jurulatih ini yang telah membawa saya untuk mencuba acara ini.

“Ketika tingkatan empat, saya bertukar sekolah dari sebuah sekolah di Padang Terap ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah di Kajang, Selangor untuk menjalani latihan khusus bagi acara lompat bergalah,” ujarnya.

Dia yang berasal dari keluarga yang boleh dikatakan agak susah melihat peluang untuk dapat pakaian dan kasut baharu serta mendapat pemakanan yang lebih teratur apabila menjadi atlet.

Selain itu, dia merasakan penghijrahannya itu juga membuka peluang untuk dia lebih berjaya di dalam bidang sukan.

Selepas enam bulan berlatih dalam acara yang baharu baginya, Roslinda berjaya mengalahkan atlet yang sudah tiga tahun berlatih pada kejohanan Terbuka Negeri Sembilan.

Ketika itu dia berjaya melakukan lompatan setinggi 2.50 meter.

“Setelah menang, saya mula yakin bahawa acara lompat bergalah ini sesuai untuk saya.

“Ini kerana dalam acara olahraga lain saya sukar untuk menang kerana persaingan yang lebih sengit,” katanya yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik.

Ketika di tingkatan lima juga dia bahkan layak untuk bertanding di World Youth Championship di Poland.

Selepas itu, Roslinda tidak menoleh ke belakang sebaliknya terus fokus dalam acara lompat bergalah sehingga meraih pelbagai pingat.

Roslinda berjaya meraih emas di empat edisi Sukan SEA iaitu pada 2005, 2007, 2009 dan 2011.

Dia juga berjaya meraih pingat perak untuk Sukan Asia di Doha, Qatar pada tahun 2006.

“Kenangan paling manis saya di dalam sukan ini selain daripada meraih pingat untuk negara adalah apabila layak untuk ke Sukan Olimpik pada 2008.

“Malah, saya layak ke Sukan Olimpik adalah melalui merit dan bukannya secara wildcard,” terangnya.

Meskipun tampil cemerlang, Roslinda tidak berpeluang untuk meraih Anugerah Olahragawati Kebangsaan.

Ini kerana ketika itu dia bersaing dengan atlet-atlet ‘besar’ seperti Nicole David daripada sukan skuasy dan Shalin Zulkifli daripada sukan boling.

Pun begitu, dia berjaya mendapat Anugerah Olahragawati Kedah dan Anugerah Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia.

Dalam pada itu, meskipun sibuk dengan rutin latihan dan kejohanan ketika bergelar atlet, Roslinda juga mementingkan pelajaran.

Dalam kesibukan bersukan, dia berusaha meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia, Serdang.

“Pelajar lain menyempurnakan pengajian dalam tempoh empat tahun tetapi tidak bagi saya.

“Saya mengambil tempoh hampir 10 tahun untuk menyempurnakan pengajian kerana dalam masa yang sama mempunyai komitmen sebagai seorang atlet,” kongsinya.

Ramai atlet apabila terlalu fokus kepada latihan, mereka korbankan pendidikan. Tetapi tidak bagi Roslinda,dia sedar bahawa akademik penting untuk masa depan.

“Saya berasal daripada keluarga susah, kalau saya tidak ubah diri, mungkin saya akan bekerja seperti ayah saya di kampung, mengerjakan sawah padi.

“Saya percaya pendidikan adalah salah satu cara untuk mengubah hidup.

“Selepas bersara, ia benar kerana saya dapat menjadi guru dan kemudian jurulatih kerana ada kelayakan akademik,” katanya.

Kecintaan terhadap ilmu bahkan begitu terbukti apabila Roslinda ketika ini sedang menyambung pengajian untuk peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas menyempurnakan pengajian sarjana (master) di UPM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN