PETALING JAYA – Banjir lebih buruk berkemungkinan boleh berlaku di negeri Sabah sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini ekoran taburan hujan yang lebih tinggi akan berlaku.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan data dan analisis semasa cuaca, Sabah dijangka menerima taburan hujan yang sedikit tinggi berbanding purata iaitu antara 20 hingga 40 peratus.
Beliau berkata, jangkaan taburan hujan lebih tinggi itu akan bermula bulan hadapan dan akan berterusan sehingga ke Mac 2026.
“Antara kawasan yang dijangka menerima taburan hujan lebih tinggi termasuklah kawasan Pantai Barat, Kudat, Sandakan, Ranau, Tawau dan Pedalaman, Sabah.
“Kawasan-kawasan ini akan menerima taburan hujan bulanan antara 60 hingga 640 milimeter (mm),”katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd Hisham berkata, berdasarkan data terkini itu juga negeri Pantai Timur serta Johor dijangka akan menerima hujan pada paras purata kecuali di beberapa kawasan pada bulan Disember.
Namun katanya, risiko banjir boleh berlaku terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan berisiko.
“Antara kawasan yang menerima taburan hujan sedikit melebihi purata pada Disember adalah di Kelantan iaitu di daerah Jeli, Kuala Krai, Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Machang.
“Sekiranya luruan angin monsun adalah kuat, maka episod hujan lebat boleh merebak sehingga ke negeri-negeri di sebelah barat Semenanjung termasuk kawasan Lembah Klang,”ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Mohd Hisham berkata, berdasarkan pemerhatian semasa, keadaan La Nina lemah sedang berlaku dan dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga Februari 2026.
“Semasa musim MTL ini, lima hingga tujuh episod hujan lebat diramalkan berlaku. Episod hujan lebat dijangka bermula di Negeri Kelantan dan Terengganu seawal November 2025, dan berkemungkinan berterusan pada Disember 2025 hingga Januari 2026.
“Keadaan yang sama turut berpotensi berlaku di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. Pada Februari 2026, Johor dan Sarawak masih berisiko menerima episod hujan lebat, manakala Sabah dijangka terus mengalami keadaan tersebut sehingga Mac 2026,”ujarnya.
Tambah beliau, hujan lebat yang berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan rendah.














