APA reaksi kita apabila dimaklumkan oleh doktor menghidap penyakit kronik seperti kanser sedangkan kita berasakan diri masih sihat dan tidak ada apa-apa masalah dengan kesihatan?
Mungkin kita panik, bingung dan tidak tentu arah dan memikirkan inilah pengakhiran hidup kita yang mungkin tinggal beberapa bulan untuk menjalani kehidupan di dunia ini.
Ramai pesakit kanser akan bersikap sedemikian hinggakan mereka mengalami kemurungan, anxiety dan tidak mahu bercampur dengan orang termasuk keluarga dan kawan-kawan.
Biarpun kadang-kadang kita akan cuba menyingkirkan perasaan yang negatif dengan cara tidak memikirkannya, adalah lebih baik jika kita belajar untuk menerimanya dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Mungkin ia kedengaran mustahil untuk dilakukan, tetapi itu yang dilakukan oleh seorang pesakit kanser hati tahap empat yang ditemui penulis ketika berehat semasa melakukan aktiviti mendaki di sebuah bukit di Negeri Sembilan baru-baru ini.
Pertemuan tidak dirancang itu memberikan aura positif dan juga semangat untuk terus berjuang demi keluarga dan anak-anak buat diri sendiri dan juga pesakit kanser yang lain di luar sana.
Dia yang berusia lingkungan 50-an pada mulanya tidak percaya didiagnos dengan penyakit itu memandangkan dirinya seorang yang aktif bersukan dan beriadah.
Pada mulanya dia agak ‘terpukul’ dengan perkara itu dan hampir berputus asa, tetapi lama-kelamaan dia sedar perlu reda dengan ujian Allah itu dan menikmati kehidupan bersama keluarga selagi nyawa dikandung badan.
Katanya, mati itu pasti dan kita tidak tahu sebab musabab ajal yang bakal mendatangi kita, mungkin buka disebabkan penyakit yang diuji oleh Allah, mungkin sebab lain siapa tahu.
Setiap minggu dia akan datang melakukan aktiviti mendaki atau ‘hiking’ ditemani isteri dan anaknya untuk menunjukkan kepada umum dia tidak mengalah dengan penyakit tersebut dan akan terus berjuang disebabkan ia sudah berada di tahap akhir.
Dia yang telah menjalani sebanyak 12 sesi kemoterapi percaya hanya dengan bersikap positif dan tidak memikirkan sisi negatif berkenaan penyakit itu, boleh memberikannya semangat yang pernah hilang pada mulanya.
Ini ditambah dengan sokongan keluarga termasuk isteri dan anak yang mahukan dia terus ceria menjalani hidup dengan emosi yang baik disampig terus menjalani rawatan diperlukan.
Itu satu kisah yang memberikan inspirasi kerana sokongan emosi daripada keluarga dan rakan serta bantuan daripada pasukan perubatan dapat membantu dalam menghadapi penyakit kanser.
Sekiranya tidak ditangani masalah emosi, ia boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit, bebanan tambahan kepada ahli keluarga dan ia mempunyai kesan ke atas proses rawatan boleh menjejaskan peluang untuk sembuh.
Berfikiran positif akan memberi anda kekuatan untuk menghadapi penyakit kanser kerana kita tidak tahu bagaimana caran kematian sendiri yang menjadi rahsia Tuhan.
Paling penting selalu sentiasa bersyukur dengan pemberian Tuhan dan menganggap ini adalah satu ujian yang perlu dihadapi bukan diratapi. -KOSMO! ONLINE















