KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka berdepan cabaran besar dalam sistem penjagaan kesihatan apabila semakin ramai warga emas yang tidak mempunyai perlindungan insurans terpaksa bergantung sepenuhnya kepada hospital dan klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan, sekali gus meningkatkan beban kos rawatan penyakit kronik negara.
Profesor Ekonomi dan Polisi Kesihatan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid, berkata ketika ini negara mempunyai lebih 3.9 juta warga emas yang berusia 60 tahun ke atas iaitu sekitar 11 peratus daripada jumlah penduduk, dan angka itu dijangka meningkat kepada 15 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Daripada kajian yang kita buat di Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga di Universiti Putra Malaysia yang lepas, warga emas sahaja, satu tahun dia memerlukan hampir RM8.7 bilion untuk kos rawatan kesihatan.
“Ia bersamaan dengan 0.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Warga emas apabila mereka dapatkan rawatan, kos memang tinggi sebab mereka banyak menghidapi penyakit-penyakit kronik, dimana jika ambil insurans kesihatan pun sukar untuk melindung penyakit-penyakit sebegitu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Syed Mohamed yang juga Presiden Persatuan Ekonomi Kesihatan Malaysia, kadar premium insurans swasta yang semakin tinggi menjadi punca ramai pesara dan warga tua tidak lagi mampu meneruskan polisi perlindungan masing-masing sekali gus memaksa mereka mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan.
Jelasnya, berdasarkan data terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kebanyakan ahli hanya mempunyai sekitar RM40,000 dalam akaun ketika mencapai usia 55 tahun dan jumlah itu bukan sahaja perlu digunakan bagi menampung kos rawatan kesihatan, tetapi juga untuk membayar hutang dan keperluan asas lain.
“Daripada kajian kami juga, kita dapat hampir 60 peratus daripada golongan tua ini, walaupun sudah pencen atau berhenti bekerja, tapi masih lagi terpaksa bekerja disebabkan mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.
“Jadi, kalau kita cuma mengharapkan insurans kesihatan swasta sudah pasti ramai pesakit-pesakit golongan tua ini tidak mampu untuk memiliki atau bayar perlindungan kesihatan hospital swasta dan akan menggunakan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Syed Mohamed berkata, sekiranya penyakit-penyakit kronik ingin dilindungi melalui insurans kesihatan, kadar premium yang dikenakan akan menjadi terlalu tinggi dan sukar ditanggung oleh pesara atau golongan berpendapatan tetap.
Malah, ujarnya laporan terbaru menunjukkan apabila usia warga emas meningkat ke lingkungan 60-an dan 70-an, kadar premium insurans kesihatan melonjak antara 100 hingga 200 peratus.
Beliau berkata, situasi itu bukan sahaja memberi tekanan kepada warga emas berpendapatan rendah, malah turut menjejaskan golongan berpendapatan tinggi apabila mereka tidak lagi mampu meneruskan polisi sedia ada.
“Kerajaan juga baru-baru ni melaporkan bahawa golongan T20 pun banyak yang tak boleh sambung insurans swasta ni dan mereka terpaksa mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik dan juga hospital kerajaan.
“Ini menyebabkan sistem kesihatan sedia ada tidak mampu menampung peningkatan jumlah pesakit termasuk golongan warga emas ditambah dengan pelbagai cabaran seperti jumlah kakitangan tidak mencukupi dan penghijrahan pakar ke luar negara,” katannya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan perlu segera memperkenalkan skim insurans kesihatan nasional (NHI) yang membolehkan golongan berusia turut mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan kos yang dibiayai bersama oleh dana nasional.
Jelas beliau, kelebihan sistem tersebut ialah ia menggunakan konsep ‘community rating’, di mana premium tidak ditentukan berdasarkan tahap risiko atau penyakit yang dihidapi individu selain tiada had usia yang ditetapkan dan rawatan boleh dilakukan sama ada di hospital kerajaan atau swasta.
“Negara-negara jiran kita seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina mereka semua dah lama amalkan sistem ini. Indonesia sekarang negara terbesar di dunia yang melaksanakan NHI. 98 peratus daripada 278 juta penduduk diliputi oleh NHI.
“Indonesia adalah salah sebuah negara yang berjaya menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk semua golongan termasuk golongan tua yang mana premiumnya cukup rendah sekali.
“Hanya sekitar 30,000 hingga 40,000 rupiah (RM10 hingga RM15) sebulan bagi perkhidmatan asas dan boleh dinaikkan sedikit bagi kemudahan wad yang lebih selesa,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Syed Mohamed menyifatkan sistem insurans kesihatan swasta di Malaysia kini beroperasi dengan kawalan yang longgar dan perlu dikawal semula bagi mengelakkan peningkatan premium sesuka hati.
Katanya, pada September tahun lalu, beberapa syarikat insurans swasta dilaporkan cuba menaikkan kadar premium kesihatan antara 35 hingga 40 peratus, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai.
“Bank Negara Malaysia mengambil langkah interim dengan menghadkan kenaikan premium tersebut kepada tidak lebih 10 peratus bagi mengelakkan beban tambahan kepada pemegang polisi.
“Tapi laporan yang kita ketahui banyak juga insurans swasta yang masih lagi tidak mengikuti peraturan ataupun saranan tersebut. Bererti tak ada undang-undang yang mengawal,” katanya.














