fbpx
OESCHINENSEE merupakan satu tasik biru yang cukup indah dikelilingi gunung-ganang yang memukau.

Magis dua musim di Switzerland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini saya berpeluang menikmati pengalaman yang amat bermakna apabila mengembara seorang diri ke Switzerland selama sembilan hari lapan malam.

Perjalanan ini menjadi lebih istimewa kerana saya diberi rezeki merasai dua musim serentak iaitu musim luruh dan musim sejuk.

Saat melihat dedaunan keemasan berganti dengan putihnya salji terasa benar keajaiban ciptaan Tuhan.

Perjalanan saya bermula di Zurich sebelum meneruskan pengembaraan ke beberapa lokasi indah seperti Leukerbad, Zermatt, Arolla, Interlaken dan Stoos.

Setiap tempat memiliki keunikan tersendiri dan meninggalkan memori yang sukar dilupakan.

Menariknya, Switzerland menawarkan pelbagai tiket percuma sempena hari lahir seperti tiket menaiki kapal persiaran kelas pertama, kereta api, kereta kabel dan beberapa tarikan lain.

Cukup hanya menunjukkan pasport kepada petugas, namun pastikan semak waktu operasi kerana ada tempat yang ditutup untuk penyelenggaraan.

Untuk kemudahan perjalanan, saya menggunakan Swiss Travel Pass fleksibel lapan hari yang dibeli melalui platform Klook.

Setiap hari saya perlu mengaktifkan pas ini bagi mendapatkan kod QR.

MENURUNI turun dari Gornegrat dengan pemandangan mendamaikan.

Disebabkan tempoh perjalanan sembilan hari, maka ada satu hari saya hanya bersiar-siar di sekitar Leukerbad tanpa menggunakan pengangkutan awam.

Pas ini juga memberikan diskaun sehingga 50 peratus bagi beberapa bentuk pengangkutan lain seperti kereta kabel gunung, tren Gornegrat dan funikular.

Saya tiba di Zurich pada pagi 25 Oktober dan singgah di Muzium Lindt sebelum menuju ke Leukerbad untuk empat malam.

Keesokan harinya saya ke Zermatt bagi menikmati keindahan Gunung Matterhorn.

Perjalanan menaiki tren ke Gornegrat pula sungguh mengasyikkan apabila dapat melihat perubahan pemandangan dari dedaunan kuning ke putihnya salji, seolah-olah saya menonton peralihan musim secara langsung dari jendela tren.

Dari puncak saya menuruni laluan hiking menuju ke Furi dan menikmati suasana tenang tanpa kesesakan pelancong.

Hari berikutnya saya berehat di Leukerbad sambil menikmati pemandangan salji tebal yang turun tanpa henti.

Kemudian, saya meneruskan perjalanan ke Arolla untuk mendaki ke tasik Lac Bleu.

Walaupun tasiknya telah beku, pemandangan pokok larches berwarna keemasan di tengah hamparan salji putih benar-benar menawan.

Dari Arolla saya ke Kandersteg untuk melawat Blausee Nature Park yang terkenal dengan air tasik biru jernih.

Selepas itu, saya menaiki kereta kabel ke Oeschinensee dan mendaki ke viewpoint yang menghidangkan pemandangan tasik biru yang dikelilingi gunung-ganang yang memukau.

Malamnya saya bermalam di Interlaken. Di Interlaken, saya sempat ke beberapa kawasan pergunungan popular termasuk Lauterbrunnen, Wengen, Grindelwald, Murren dan Gimmelwald.

Walaupun ada laluan yang ditutup ketika itu, saya tetap puas menikmati suasana kampung Swiss yang tenang dan bersih.

SALJI mula meliputi sebahagian kawasan di Zermatt, Switzerland yang mencetuskan panorama unik.

Antara lokasi yang paling meninggalkan kesan ialah Giessbach Waterfalls berhampiran Tasik Brienz.

Air terjun yang bertingkat dengan suasana musim luruh yang berwarna-warni menjadikan kawasan ini begitu mempesona.

Dari situ saya menaiki pelayaran ke Iseltwald yang pernah menjadi lokasi penggambaran drama Korea terkenal Crash Landing on You.

Tidak ketinggalan saya menaiki funikular ke Harder Kulm, puncak yang menawarkan pemandangan dua tasik iaitu Tasik Thun dan Tasik Brienz serta gugusan gunung Eiger, Monch dan Jungfrau.

Hari terakhir pula saya menunaikan impian diri ke Schilthorn Swiss Skyline. Menariknya tiket kereta kabel ini percuma sempena hari lahir saya.

Dari stesen Birg middle saya mencuba laluan thrill walk yang cukup mendebarkan sambil menikmati panorama salji yang luas terbentang.

Perjalanan saya diakhiri di perkampungan Stoos sebelum kembali ke Zurich untuk penerbangan pulang.

Walaupun hujan membatalkan rancangan untuk mendaki laluan Stoos Ridge, saya tetap bersyukur kerana dapat menikmati suasana damai di kawasan pergunungan itu.

Sepanjang berada di Switzerland, saya banyak memasak sendiri kerana lebih menjimatkan. Hanya dua kali saya membeli makanan luar sementara di Interlaken dan Stoos saya menikmati sarapan percuma yang disediakan oleh penginapan.

Saya juga belajar untuk membawa beg yang ringan agar mudah menukar tren dan bas.

Secara keseluruhannya perjalanan ini benar-benar membuka mata dan hati saya.

Switzerland bukan sekadar indah pada pemandangan tetapi juga teratur, bersih dan selamat untuk pengembara solo.

Pengalaman menikmati dua musim dalam satu perjalanan ini pastinya menjadi kenangan paling berharga dalam hidup saya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN