KUALA LUMPUR – Sebanyak RM2.03 bilion disalurkan kepada 562,116 penerima yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari Januari hingga Ogos lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebanyak 267,036 penerima terbabit adalah lelaki dan 295,080 merupakan wanita.
“Sebanyak 316,471 penerima terdiri daripada kaum Melayu, 92,749 (Cina), 61,833 (India) dan 1,124 (Peribumi Semenanjung)
“Sebanyak 44,969 (Peribumi Sabah), 39,398 (Peribumi Sarawak) dan 5,621 daripada lain-lain etnik,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) berhubung bantuan JKM kepada rakyat mengikut bilangan jantina, umur, kaum dan kos diperuntukkan.
Nancy berkata, warga emas berusia 60 tahun ke atas kumpulan umur tertinggi menerima bantuan JKM membabitkan seramai 248,831 penerima Bantuan Warga Emas (BWE)
Dalam pada itu, katanya, setiap permohonan bantuan dinilai secara teliti, namun terdapat permohonan tidak menepati syarat kelayakan bagi mendapatkan bantuan JKM.
Kata beliau, antara faktor adalah bukan warga Malaysia, pendapatan keluarga melebihi had kelayakan dan mempunyai anak dewasa yang bekerja.
Tambah beliau, faktor lain adalah pemohon masih sihat dan berupaya bekerja serta mempunyai sumber pendapatan sampingan seperti pencen atau bantuan lain.
“Pada tahun 2022 terdapat 533,167 penerima bantuan didaftarkan dengan peruntukan RM2.46 bilion. Pada 2023, penerima meningkat kepada 543,811 dengan peruntukan RM2.53 bilion,” katanya. – KOSMO! ONLINE














